Seramai 50 ahli keluarga sekitar Selayang menerima sumbangan bakul makanan daripada ANGKASA pada 2 Mei 2025 di Batu Caves, Selangor.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, seiring dengan Prinsip Koperasi Yang Ketujuh, iaitu ‘Berprihatin Terhadap Masyarakat’, ANGKASA bersama koperasi dan pertubuhan lain sentiasa bersedia membantu komuniti yang memerlukan khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan.
Beliau turut menyarankan komuniti Kampung Bendahara agar menubuhkan koperasi, sekali gus menjalankan aktiviti perniagaan. Pulangan atau hasil pendapatan daripada perniagaan tersebut katanya akan dapat dinikmati oleh anggota melalui dividen dan kebajikan yang disalurkan kelak.

Beliau juga mencadangkan salah satu daripada aktiviti yang boleh diusahakan koperasi iaitu membantu warga emas atau warga tua yang memerlukan penjagaan dan perhatian.
Hadir sama ialah Ketua Kampung Bendahara, Haji Yasin Haji Wahab dan Pengerusi Pertubuhan Wanita Mesra Selayang, Puan Norhamizah Husin.