Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIJadikan Koperasi Sekolah Platform Latihan Kepimpinan dan Keusahawanan Pelajar

Jadikan Koperasi Sekolah Platform Latihan Kepimpinan dan Keusahawanan Pelajar

Gerakan koperasi sekolah berperanan penting dalam membentuk sahsiah pelajar dan melahirkan generasi muda yang berdaya saing serta berjiwa keusahawanan.

Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, koperasi sekolah bukan sekadar entiti yang melatih pelajar dalam aspek perniagaan, malah merupakan platform latihan kepimpinan dan pengurusan yang amat bernilai kepada pelajar.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Penutup Kejohanan E-Sport, Sepak Penalti, Sepak Takraw dan Petanque Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Koperasi Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan (KVTAA) Bentong 2025 di Bentong, Pahang pada 4 Mei 2025.

Dalam ucapannya, beliau turut memuji inisiatif KVTAA memperkasakan koperasi sekolah menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti sukan dan komuniti yang mampu meningkatkan daya tarikan koperasi kepada golongan muda.

“Kejayaan penganjuran program seperti ini membuktikan bahawa koperasi sekolah mampu menjadi agen yang menyatukan pelajar dari pelbagai latar belakang, membina semangat kerjasama dan membentuk budaya keusahawanan sejak di bangku persekolahan,” katanya.

Beliau juga turut menyatakan rasa bangga dengan pencapaian 40 buah koperasi sekolah yang telah mencapai perolehan RM1 juta setahun dan dua daripadanya telah mencapai perolehan RM2 juta setahun. Daripada jumlah tersebut, empat daripadanya adalah koperasi sekolah dari negeri Pahang.

“Pencapaian ini sekali gus membuktikan bahawa sekolah bukan sahaja wadah untuk belajar ilmu secara teori tetapi tempat untuk belajar secara praktikal mengenai aktiviti keusahawanan yang semestinya akan memberi kelebihan besar kepada pelajar apabila menjejakkan kaki ke alam pekerjaan atau menceburi dunia perniagaan kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah KVTAA, Puan Saripah Zalha Said Abu Bakar dalam ucapannya berkata, KVTAA kini telah mencapai usia 36 tahun dan pernah berada antara 19 koperasi sekolah terbaik Negeri Pahang.

Tambahnya, penganjuran acara kali ini merupakan sebuah revolusi Koperasi KVTAA dalam usaha menarik minat golongan muda dan masyarakat sekitar tentang gerakan koperasi, selain memupuk nilai murni semangat berpasukan dan kerjasama di antara pelajar.

Kejohanan E-Sport, Sepak Penalti, Sepak Takraw dan Petanque Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Koperasi Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan (KVTAA) Bentong 2025 berlangsung selama tiga hari melibat penyertaan 514 peserta daripada sekolah-sekolah di negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Pengarah/Pengetua Kolej Vokasional/ Sekolah Menengah Teknik Zon Pahang, Haji Zakaria Omar, Timbalan Pengarah Akademik KVTAA, Haji Rezwan Haji Tasiman, Pegawai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) Sains dan Matematik, Pejabat Pendidikan Daerah Bentong, Encik Khairul Azhar Khamis dan Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Pahang III (Barat), Encik Abi Hurairah Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine