Friday, June 20, 2025
HomeANTARABANGSABrunei Sambut Baik Kerjasama Koperasi ASEAN, Sedia Teroka Peluang Bersama ACO, ANGKASA

Brunei Sambut Baik Kerjasama Koperasi ASEAN, Sedia Teroka Peluang Bersama ACO, ANGKASA

Sebarang bentuk kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN sentiasa membawa kebaikan, khususnya dalam membantu masyarakat akar umbi dan memperkukuh ekonomi sosial serantau. Brunei Darussalam, sebagai salah sebuah negara anggota, turut melihat inisiatif sebegini sebagai peluang berharga dalam mengembangkan industri mikro tempatan.

“Kami mempunyai banyak industri mikro di Brunei. Jadi, sebarang bentuk bantuan atau sokongan amat dialu-alukan,” ujar Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam di Kuala Lumpur, Mr. Aizul Hakim Suyoi yang mewakili Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam ke Malaysia.

Beliau menyatakan demikian ketika menerima kunjungan hormat barisan kepimpinan ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan ANGKASA yang diketuai oleh Presiden ACO merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah di Suruhanjaya Tinggi Brunei, Putrajaya pada 9 Mei 2025.

Tambah beliau lagi, Brunei kini sedang berdepan cabaran pengangguran yang tinggi dalam kalangan graduan yang lebih cenderung memilih pekerjaan sektor kerajaan kerana kestabilan dan kurang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.

Beliau percaya bahawa koperasi mampu menjadi satu pendekatan alternatif yang efektif untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia, sekali gus menangani isu pengangguran secara lebih mampan.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah memaklumkan bahawa Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) telah menyatakan keyakinan mereka terhadap ANGKASA untuk menerajui usaha memperkasa gerakan koperasi dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Ramai dalam kalangan negara OIC masih belum menggunakan koperasi sebagai platform utama pembangunan ekonomi rakyat. Jika Brunei turut serta dalam inisiatif ini, ia akan memberi kelebihan kerana Brunei merupakan sebuah negara Islam yang dihormati di peringkat antarabangsa,” kata beliau.

Beliau turut mencadangkan agar konsep koperasi sekolah dan koperasi kariah masjid yang dilaksanakan di Malaysia dapat diperkenalkan di Brunei. ANGKASA bersedia untuk membantu penubuhan satu atau dua koperasi sekolah atau koperasi masjid sebagai projek perintis di negara itu.

Selain itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga menyampaikan jemputan rasmi kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Brunei untuk menghadiri Dialog Koperasi ASEAN 2025 atau ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD 2025) yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 14 Mei 2025 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung ACO merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Bendahari ACO merangkap Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine