ANGKASA terus memberi keutamaan kepada pemantauan berkala bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek di bawah Program SejaTi MADANI, khususnya dalam memperkasa koperasi luar bandar.
Sehubungan itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah turun padang bagi melihat sendiri perkembangan projek ternakan ikan tilapia yang diusahakan oleh Koperasi Pembangunan Dakata Sabah Berhad (DAKATA) di Kampung Kiranau Inobong, Penampang, Sabah pada 16 November 2025.
DAKATA adalah antara 20 koperasi terpilih yang telah menerima peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Program SejaTi MADANI bagi melaksanakan projek di bawah Sektor Akuakultur.
Peruntukan itu disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan diselia oleh ANGKASA menerusi ANGKASA Negeri Sabah yang turut menjadi pemantau pelaksanaan projek koperasi berkenaan.
DAKATA kini mengendalikan sembilan kolam ternakan, setiap satunya menempatkan sehingga maksimum 900 anak ikan tilapia.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamriee Gulamrasul dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.












