Hari kedua Perhimpunan Serantau International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) ke-17, Colombo, Sri Lanka pada 25 November 2025 berlangsung dengan penuh komitmen dan keterlibatan aktif delegasi ANGKASA dalam pelbagai sesi strategik merangkumi mesyuarat, pemilihan jawatankuasa dan seminar merentas tujuh bidang utama koperasi.
Sesi pagi dimulakan dengan Mesyuarat serta Pemilihan ICA-AP Committee on Agriculture & Environment yang menampilkan pembentangan mengenai pertanian pintar dan kelestarian. Pelantikan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik sebagai Pengerusi ICAE mengangkat nama Malaysia sebagai peneraju dalam agenda keselamatan makanan dan pembangunan mampan. Dalam sesi pembentangan, beliau menzahirkan komitmen Malaysia memperkukuh sektor pertanian melalui amalan mesra iklim, penggunaan teknologi moden dan pembangunan kapasiti koperasi tani.
Mesyuarat ICA-AP Trade & Business Committee pula dipengerusikan Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah bersama Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh. Perbincangan memfokuskan peluang memperluas perdagangan rentas sempadan pengembangan jaringan digital dan strategi pengukuhan rantaian bekalan serantau.
Pada masa yang sama Mesyuarat ICA-AP Credit & Banking Committee dihadiri Naib Presiden ANGKASA merangkap Naib Pengerusi ICA-AP Credit & Banking Committee, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa. Sesi ini memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus kewangan koperasi termasuk pembinaan sistem kredit yang lebih kukuh peningkatan ketelusan dan pengurusan risiko yang lebih mampan.
Mesyuarat ICA-AP Committee on Women turut berlangsung dengan penyertaan Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain serta Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abd Latif. Sesi ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita koperasi termasuk pembangunan kapasiti kepimpinan latihan keusahawanan dan penembusan pasaran baharu.
Sesi petang menyaksikan Mesyuarat ICA-AP Committee on Consumer Cooperation yang turut disertai Prof Madya Dato’ Dr Abdul Rahman selaku Naib Pengerusi komiti tersebut. Agenda perbincangan menekankan pentingnya koperasi memainkan peranan sebagai penyedia perkhidmatan dan produk yang diyakini masyarakat, khususnya dalam persekitaran pasaran yang semakin mencabar.
Sesi petang turut menyaksikan seminar mengenai Sambutan Usahawan Wanita Koperasi Asia Pasifik, yang merupakan platform memperkasa ekonomi wanita serta mengetengahkan kisah kejayaan dan strategi keusahawanan koperasi. Penyertaan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, Datuk Mohamad Ali Hasan, Hajah Sharifah Aminah dan Hajah Noorizan menonjolkan kemampuan ANGKASA memandu pembangunan usahawan wanita melalui inisiatif pembiayaan, latihan dan jaringan antarabangsa.
Mesyuarat ICA-AP Committee on Cooperatives in Educational Institutions (ICEI) turut dijayakan dengan penyertaan Naib Presiden ANGKASA merangkap Naib Pengerusi ICEI, Dato’ Haji Kamarudin Ismail. Beliau menekankan kepentingan koperasi sekolah kolej dan universiti dalam melahirkan generasi muda celik koperasi berdaya inovatif serta berpotensi mengembangkan idea perniagaan baharu.
Dalam masa yang sama mesyuarat dan seminar ICA-AP Committee on Youth Cooperative menghimpunkan suara belia koperasi sebagai peneraju utama transformasi digital. Delegasi belia yang terlibat menekankan potensi pembangunan platform digital sebagai pemacu daya saing gerakan koperasi masa hadapan.
Penglibatan menyeluruh ANGKASA pada hari kedua ini menggambarkan usaha berterusan Malaysia memperkukuh ekosistem koperasi melalui kerjasama serantau perkongsian pengetahuan dan penerokaan peluang baharu.







































































