Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIDatuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah Kekal Naib Presiden ICA-AP: Malaysia Terus...

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah Kekal Naib Presiden ICA-AP: Malaysia Terus Unggul di Peringkat Serantau

Gerakan koperasi Malaysia sekali lagi mengukir kejayaan di persada antarabangsa apabila Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berjaya mengekalkan jawatan sebagai Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia Pacific (ICA-AP) dalam pemilihan yang berlangsung sempena Perhimpunan Serantau ICA-AP ke-17 di Colombo, Sri Lanka pada 27 November 2025.

Beliau dipilih bersama Adili Wubuli dari China, mengatasi calon dari Jordan, Abdelfattah M. Q. Al-Shalabi yang turut bertanding untuk jawatan tersebut.

Keputusan itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan koperasi di rantau Asia Pasifik.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan Dr. Chandra Pal Singh Yadav dari India dipilih semula sebagai Presiden ICA-AP secara sebulat suara. Beliau menyifatkan mandat yang diberikan itu sebagai satu simbol kepercayaan daripada seluruh komuniti koperasi Asia Pasifik, sambil menegaskan komitmen untuk memperkukuh ekosistem perundangan, tadbir urus dan kerjasama koperasi di peringkat serantau.

Pelantikan semula Datuk Seri Dr. Abdul Fattah sebagai Naib Presiden ICA-AP dianggap satu penghormatan besar kepada Malaysia, khususnya kepada ANGKASA yang konsisten mengangkat martabat gerakan koperasi negara di persada antarabangsa.

Beliau dikenali sebagai tokoh yang memperjuangkan transformasi koperasi melalui dasar yang kondusif, digitalisasi, peningkatan kapasiti serta penerokaan peluang kerjasama rentas negara.

Kepercayaan yang diberikan oleh negara anggota membuktikan bahawa kepimpinan beliau dihargai bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh rantau Asia Pasifik.

Dalam konteks pemilihan Lembaga ICA-AP yang dijalankan terlebih dahulu, seramai 12 perwakilan telah mengemukakan pencalonan bagi 11 kerusi, sebelum proses memilih Presiden dan Naib Presiden diteruskan. Suasana pemilihan berlangsung dengan penuh harmoni dan profesional, mencerminkan kesepakatan negara-negara anggota untuk membawa koperasi rantau ini ke arah masa depan yang lebih progresif, inklusif dan mampan.

Ketiga-tiga pemimpin iaitu Dr. Chandra Pal, Adili Wubuli dan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah kini dijangka memberi tumpuan baharu terhadap usaha memperkukuh jaringan koperasi serantau, memodenkan pengurusan koperasi melalui inovasi, serta menyokong pembangunan kapasiti di peringkat akar umbi.

Kepimpinan mereka dilihat sebagai gabungan pengalaman, wawasan dan komitmen yang mampu memacu pertumbuhan koperasi Asia Pasifik dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

Sepanjang perhimpunan ini, delegasi Malaysia terus aktif menyuarakan pandangan dan memainkan peranan dalam sesi-sesi strategik, selaras dengan misi negara untuk memperkukuh kedudukan koperasi sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi. Pelantikan semula Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga memberikan keyakinan baharu bahawa Malaysia akan terus menjadi rakan utama dalam membentuk dasar, program dan kerjasama koperasi serantau.

Perhimpunan ini menutup tirai dengan semangat baharu untuk terus memperkukuh gerakan koperasi Asia Pasifik melalui kepimpinan yang stabil dan visi yang jelas.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta barisan Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Ibrahim Abdullah. Turut hadir ialah Pengerusi ANGKASA Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine