Saturday, December 13, 2025
HomeKOPERASIGuru Koperasi : Tunjang Pembentukan Usahawan Koperasi Masa Depan

Guru Koperasi : Tunjang Pembentukan Usahawan Koperasi Masa Depan

Usaha dan inisiatif yang diperjuangkan oleh guru koperasi terhadap koperasi sekolah boleh menjadi tunjang kepada terbentuknya generasi usahawan koperasi yang berjaya pada masa hadapan.

Demikian menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu berucap dalam Bengkel Pembangunan Perniagaan Koperasi Sekolah Kelab RM1 Juta Se-Malaysia 2025 di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 29 November 2025.

Katanya, dari sudut pendidikan, inisiatif itu juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 yang memfokuskan kepada kemahiran abad ke-21, pembelajaran berasaskan amali dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Koperasi sekolah adalah platform terbaik bagi melatih pelajar realiti sebenar dunia perniagaan selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024–2030 yang memberi penekanan kepada pembinaan modal insan pendidikan yang tangkas, berkemahiran tinggi serta berupaya menghadapi cabaran ekonomi masa depan.

Justeru, koperasi sekolah memenuhi tuntutan tersebut melalui penglibatan langsung pelajar dalam pengurusan organisasi, kewangan, operasi perniagaan dan perkhidmatan, satu pengalaman pembelajaran yang tidak boleh diganti dengan teori semata-mata,” jelas beliau.

Beliau turut mencadangkan agar kepimpinan koperasi sekolah dapat merancang pelan strategik koperasi sehingga 2030. Pendekatan tersebut penting bagi memastikan perancangan awal dapat dibentuk dan dilaksanakan secara lebih seimbang dan mampu menyumbang kepada perolehan yang lebih signifikan.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah yang mewakili kepimpinan ANGKASA juga turut mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan koperasi yang telah berjaya mencapai perolehan melebihi RM1 juta. Beliau juga turut menyatakan penghargaan serta terima kasih kepada KPM dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang tidak pernah jemu membantu dan memberikan sokongan dalam membangunkan gerakan koperasi sekolah sehingga berada pada tahap yang amat membanggakan.

Sehingga kini, sebanyak 47 buah koperasi sekolah telah merekodkan perolehan melebihi RM1 juta manakala dua daripadanya berjaya mencatat angka jualan melebihi RM2 juta.

Hadir sama dalam majlis perasmian bengkel tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Timbalan Pengarah II Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA, Encik Azizan Ismail dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

Bengkel anjuran Bahagian Pendidikan dan Perniagaan ANGKASA itu menghimpunkan seramai 72 peserta mewakili 47 buah koperasi sekolah.

Selain sesi taklimat, antara pengisian lain selama tiga hari sehingga 1 Disember 2025 itu termasuklah enam siri pembentangan kertas kerja berkaitan produk dan perkhidmatan ANGKASA serta satu sesi dialog bertajuk ‘Pembangunan Perniagaan Koperasi Sekolah’ yang disampaikan oleh wakil daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), MARA dan KPM.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine