Tuesday, March 3, 2026
HomeAGENSIGerakan Koperasi di Negeri Sembilan Terus Berdaya Maju

Gerakan Koperasi di Negeri Sembilan Terus Berdaya Maju

Pihak kerajaan di Negeri Sembilan sedia memperjuangkan keperluan koperasi pada bila-bila masa. Kewujudan hampir 800 koperasi yang aktif di negeri tersebut membuktikan bahawa koperasi mempunyai peranan cukup besar dalam mengukuhkan ekonomi masyarakat setempat.

Demikian menurut EXCO (Kanan) Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Haji Jalaluddin Haji Alias pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung pada 10 Disember 2025 di Seremban.

Tambahnya, hampir 30 peratus daripada jumlah RM640 juta yang diperuntukan ditumpukan kepada kemudahan rakyat seluruh Negeri Sembilan termasuk NGO. Koperasi aktif juga boleh membantu kegiatan menjana ekonomi masyarakt tempatan.

Tambahnya, koperasi mesti diuruskan dengan baik dan banyak koperasi membuktikan kemampuan mereka dengan meneroka ekonomi secara lebh baik.

Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Sembilan 2025 mencerminkan penghargaan ANGKASA terhadap usaha koperasi dan koperator di Negeri Sembilan sekali gus meraikan pencapaian mereka bagi tahun 2024.

Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sembilan yang diterajui oleh Hajah Noorizan Abd Latif selaku Pengerusi telah berjaya menjadikan program ini sebagai satu platform penting dalam menghargai segala usaha dan sumbangan gerakan koperasi di Negeri Sembilan.

Majlis ini juga sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan agensi- agensi kerajaan negeri dalam menjayakan program anjuran ANGKASA Negeri Sembilan sepanjang tahun 2024 serta memperkukuhkan jalinan hubungan strategik antara ANGKASA dengan agensi kerajaan antaranya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

Menurut beliau, berdasarkan perangkaan interim koperasi negara yang dikeluarkan oleh SKM sehingga Jun 2025, sebanyak 16,342 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 7.407 juta individu telah direkodkan. Ini membabitkan syer atau yuran sebanyak RM18.484 juta dan aset berjumlah RM267.922 juta. Sebanyak RM68.183 juta perolehan telah dicatatkan sehingga 31 Disember 2024.

Bagi Negeri Sembilan pula, secara keseluruhannya sehingga Disember 2024, terdapat 787 buah koperasi dengan keanggotaan sebanyak 192,711 individu, syer atau yuran sebanyak RM123.694 juta, aset sebanyak RM404.15 juta dan perolehan sehingga Disember 2024 RM187.06 juta.

Pencapaian ini menunjukkan gerakan koperasi Negeri Sembilan dalam landasan yang tepat membangunkan ekonomi masyarakat setempat.

Sumbangan koperasi merangkumi aspek ekonomi dan juga aspek sosial seperti membantu golongan kurang bernasib baik dalam menyediakan sokongan sosiekonomi seperti pendidikan dan menawarkan peluang pekerjaan. Selaras dengan Wawasan Madani koperasi adalah instrumen penting untuk membawa perubahan yang berteraskan kelestarian dan kesejahteraan.

“Kejayaan koperasi yang diraikan hari ini adalah inspirasi kepada koperasi lain di seluruh negara. Ia telah membuktikan bahawa dengan usaha gigih dan dedikasi, kejayaan pastinya dapat dicapai. Jadilah contoh kepada koperasi lain untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan. “ ujarnya lagi.

Seramai 530 orang wakil daripada 60 buah koperasi seluruh Negeri Sembilan hadir bagi menyaksikan penyampaian sembilan kategori anugerah. Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Adul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Dato’ Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abdul Latif, Pengerusi JKAN Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Pengarah SKM Cawangan Negeri Sembilan, Encik Radiatul Fitri Dollah.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine