Tuesday, March 3, 2026
HomeANTARABANGSAGerakan Koperasi ASEAN Perlu Beralih ke Fasa Pelaksanaan dan Advokasi

Gerakan Koperasi ASEAN Perlu Beralih ke Fasa Pelaksanaan dan Advokasi

Gerakan koperasi ASEAN perlu melangkah ke fasa pelaksanaan dan advokasi yang lebih tersusun bagi memastikan peranannya diiktiraf dalam landskap ekonomi serantau.

Penegasan itu disuarakan Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah pada Majlis Penutup ASEAN Cooperative Networking 2025 (ACN2025) yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada 15 Disember 2025.

Menurut beliau, selepas pelbagai sesi dialog dan perbincangan sepanjang ACN2025, cabaran utama gerakan koperasi kini bukan lagi tertumpu kepada pembangunan semata-mata, sebaliknya bagaimana memastikan suara koperasi didengari dan diambil kira dalam proses penggubalan dasar di peringkat nasional dan serantau.

Beliau berkata, usaha advokasi yang lebih tersusun amat penting memandangkan gerakan koperasi di rantau ini mewakili jutaan anggota, namun masih belum diberikan pengiktirafan sewajarnya dalam landskap ekonomi arus perdana.

Program selama dua hari yang bermula pada 14 Disember 2025 itu menghimpunkan seramai 32 peserta, termasuk 14 delegasi luar negara yang mewakili lapan organisasi dari empat negara iaitu Filipina, Indonesia, Kemboja dan Timor Leste.

Antara pengisian utama program ialah siri mini dialog yang menjadi kesinambungan kepada Mini Dialog 1 yang berlangsung pada 14 Disember 2025. Mini Dialog 2 bertajuk ‘Memperkasa Ekonomi Koperasi: Memacu Pertumbuhan Berteraskan Kemanusiaan dan Daya Tahan Komuniti” melibatkan Ketua Staf dan Penyelaras Hubungan Luar, Secretary of State for Cooperatives (Timor Leste), Mr. Leovogildo Belarmino serta Pengurus Program, Kementerian Koperasi Republik Indonesia, Bapak Ilham Nasai. Sesi tersebut dikendalikan oleh Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan.

Program diteruskan dengan Mini Dialog 3 bertajuk ‘Membina Infrastruktur Modal dan Memupuk Bakat Koperasi melalui Pelaksanaan Kerangka ACMAL’ yang dikendalikan oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa. Dialog itu melibatkan Ketua Pegawai Operasi National Cooperative Confederation(Filipina), Mr. Glenn Medez serta Pengurus Besar Pusat Koperasi Kredit Khatulistiwa (Indonesia), Bapak Primus Segang Lasse sebagai panel.

Mini Dialog 4 pula menampilkan tiga panel, iaitu Ahli Lembaga Cooperative Development Authority (Filipina), Mr. Vergel Hilario, Timbalan Pengarah Bahagian Perangkaan dan Penyelidikan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Encik Zainudin Mohamed serta Pengarah Kanan (Keusahawanan & Perniagaan), Institut Koperasi Malaysia, Puan Sri Datin Sri Noraesyah Saari. Sesi yang membincangkan ‘Membentuk Koridor Ekonomi Koperasi: Komitmen terhadap Perdagangan C2C dan Hala Tuju 2030’ itu dikendalikan oleh Mr. Leovogildo selaku moderator.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah serta Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak.

ACN2025 dianjurkan selaras dengan Majlis Penutupan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025), sekali gus menyediakan platform serantau yang penting bagi memperingati pencapaian sepanjang tahun serta menterjemahkan resolusi strategik kepada kerangka tindakan yang boleh dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine