Tuesday, March 3, 2026
HomeUncategorizedPembentangan Inisiatif Strategik ANGKASA kepada YB Menteri Kewangan II

Pembentangan Inisiatif Strategik ANGKASA kepada YB Menteri Kewangan II

ANGKASA telah mengadakan satu pembentangan rasmi berkaitan Inisiatif Strategik kepada Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 11, Blok Tengah, Kementerian Kewangan, pada 19 Disember 2025.

Pembentangan yang diketuai oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, bertujuan memaklumkan serta mendapatkan pandangan dan sokongan kerajaan terhadap beberapa agenda strategik yang dirangka bagi memperkukuh peranan gerakan koperasi dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Antara inisiatif utama yang dibentangkan ialah cadangan permohonan Lesen Perbankan Digital oleh ANGKASA, yang dilihat sebagai langkah progresif untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan berteraskan koperasi, selari dengan agenda pendigitalan negara. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat besar kepada anggota koperasi, khususnya dalam aspek keterangkuman kewangan dan peningkatan kecekapan perkhidmatan.

Selain itu, ANGKASA turut membentangkan cadangan penubuhan Dana Pelaburan Koperasi Nasional sebagai instrumen strategik bagi menggembleng modal koperasi secara lebih berstruktur dan mampan. Dana ini dicadangkan bagi menyokong pelaburan berskala besar, meningkatkan pulangan kepada koperasi serta memperkukuh daya saing sektor koperasi dalam landskap ekonomi semasa.

Pembentangan ini juga merangkumi Projek Perumahan Madani, yang disasarkan untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada anggota koperasi dan rakyat secara amnya, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani. Projek ini menekankan kerjasama strategik antara koperasi, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan yang berimpak tinggi serta lestari.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sektor Kewangan ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, serta wakil-wakil daripada MyANGKASA Bina. Perbincangan turut menyentuh peranan dan hala tuju strategik ANGKASA, dengan harapan inisiatif yang dicadangkan dapat dipertimbangkan serta disokong demi memperkasa ekosistem koperasi negara secara menyeluruh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine