Tuesday, March 3, 2026
HomeUncategorizedMAAB Catat Perolehan RM50.2 Juta, Kukuhkan Kedudukan Sebagai Peneraju Amanah Koperasi Negara

MAAB Catat Perolehan RM50.2 Juta, Kukuhkan Kedudukan Sebagai Peneraju Amanah Koperasi Negara

Kejayaan MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) sebagai peneraju syarikat amanah koperasi negara terus diperkukuh melalui kerjasama strategik yang erat melibatkan sektor perbankan, koperasi, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi takaful serta rakan korporat.

Prestasi cemerlang tersebut dizahirkan menerusi pencapaian kewangan MAAB bagi tahun 2025 apabila mencatatkan perolehan sebanyak RM50.2 juta, meningkat 64 peratus berbanding RM30.6 juta pada tahun 2024, dengan keuntungan kasar mencecah RM15.6 juta, sekali gus membuktikan daya saing dan keupayaan MAAB sebagai satu-satunya syarikat amanah di bawah sektor koperasi negara.

Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata kejayaan MAAB tidak dapat dicapai secara individu, sebaliknya menuntut usaha kolektif serta komitmen berterusan daripada semua rakan strategik yang terlibat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Malam Apresiasi Rakan Niaga Korporat MyANGKASA Amanah Berhad 2025 yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi (30 Januari 2026).

Menurut beliau, MAAB yang kini memasuki tahun ke-13 operasinya terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil kerjasama strategik bersama pelbagai institusi kewangan dan korporat, di samping mengekalkan penawaran perkhidmatan perancangan serta pentadbiran harta pusaka yang profesional, telus dan berintegriti.

Sepanjang tahun 2025, MAAB telah merekodkan 90,440 pendaftaran wasiat baharu, menguruskan Akaun Amanah dengan jumlah terkumpul bernilai RM283 juta, serta mendaftarkan 550 kes baharu Pentadbiran Pusaka. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan prestasi kewangan yang kukuh, malah menzahirkan peranan signifikan MAAB dalam membantu masyarakat mengurus perancangan harta pusaka secara lebih tersusun, berhemah dan berlandaskan prinsip amanah.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan bin Jalal (B) menegaskan komitmen SKM untuk terus menyokong MAAB sebagai satu-satunya syarikat amanah di bawah sektor koperasi yang dimiliki sepenuhnya oleh ANGKASA.

Beliau berkata kedudukan MAAB amat signifikan kerana membuktikan keupayaan gerakan koperasi melaksanakan tadbir urus yang baik, selain berperanan sebagai jambatan strategik yang menghubungkan koperasi dengan sektor korporat dan institusi kewangan.

Menurutnya, SKM melihat MAAB sebagai platform penting dalam membantu ahli koperasi mendapatkan perkhidmatan perancangan dan pentadbiran harta pusaka secara lebih sistematik, di samping berpotensi dilantik sebagai pemegang amanah atau trustee bagi koperasi yang menawarkan skim pelaburan khas dengan kelulusan SKM.

“Sinergi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada koperasi, malah turut melibatkan sektor perbankan dan institusi kewangan, sekali gus memperkukuh ekosistem ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya.

Seiring perkembangan digital, MAAB komited melaksanakan Tandatangan Digital sepenuhnya bagi produk Wasiat dan Hibah bermula 2026, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses kepada masyarakat. Sambil itu, MAAB memperkukuh impak sosial melalui kerjasama dengan PERKESO menerusi SKSSR (Lindung Kasih) dan SKSPS (Lindung Kendiri), serta dengan PTPTN melalui produk MyHibah SSPN bagi pencarum SSPN Prime dan SSPN Plus, membuka peluang baharu dalam perancangan kewangan dan kebajikan keluarga secara holistik.

MAAB turut merancang memperkenalkan produk Amanah Tunai sebagai pemegang amanah, selain memperluas kemudahan bayaran bulanan melalui potongan gaji ANGKASA yang melibatkan lebih 1.2 juta penjawat awam, bagi memastikan perkhidmatan perancangan harta pusaka dapat diakses secara lebih inklusif, mampan dan berdaya saing, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Majlis Malam Apresiasi tersebut turut meraikan sumbangan rakan niaga strategik termasuk bank-bank koperasi seperti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Co-op Bank Pertama (CBP), di samping bank-bank komersial seperti BSN, Agrobank, MBSB Bank, Bank Islam, Affin Bank, Al Rajhi Bank dan Bank Muamalat. Turut dihargai ialah rakan daripada sektor koperasi, GLC termasuk PERKESO dan PTPTN, rakan niaga premium, vendor serta seluruh kumpulan ANGKASA yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan MAAB.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MyANGKASA Amanah Berhad, Datuk Haji Mohamad Ali bin Hasan; barisan Naib Presiden dan Anggota Lembaga ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin bin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree bin Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim bin Haji Abdullah, serta Pengurus Besar merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAAB, Encik Muhammad Syafiq Abdullah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Berhad, Puan Nur Fatihah binti Mustafa; Ketua Pegawai Operasi Co-op Bank Pertama, Encik Faris bin Kamarudin; serta Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Puan Mastura binti Mohd Khalid.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine