ANGKASA telah menerima kunjungan delegasi daripada Association of Asian Confederation of Credit Unions (ACCU) di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 4 November 2025 bagi membincangkan tawaran ACCU kepada ANGKASA untuk menyertai rangkaiannya sebagai ahli.
Delegasi ACCU diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ms. Elenita V. San Roque bersama Ketua Pasukan Teknikal, Mr. Ranjith Hettiarachchi. Turut hadir dalam sesi perbincangan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh serta Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa, Dr. Noraini Mohamad.
Pertemuan tersebut bertujuan memperkukuh peranan ANGKASA dalam ekosistem kesatuan kredit di rantau Asia melalui penglibatan aktif dalam rangkaian ACCU yang kini dianggotai oleh 239 organisasi kesatuan kredit daripada 23 negara di Asia.
Selain itu, perbincangan turut menumpukan kepada cadangan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan ANGKASA menjadi hos kepada program ACCU pada tahun 2026 yang akan merangkumi Mesyuarat Agung Tahunan ACCU Ke-45, Forum Kesatuan Kredit Asia (Asian Credit Union Forum) serta siri bengkel pra-forum.
Forum berprestij itu dijangka menghimpunkan lebih 500 peserta antarabangsa termasuk wakil kesatuan kredit, federasi dan institusi kewangan koperasi utama di Asia.
Langkah berkenaan bukan sahaja berpotensi memperkukuh kedudukan ANGKASA di peringkat antarabangsa, malah turut membuka peluang kepada pertukaran pengetahuan, pembangunan kepimpinan koperasi serta kerjasama strategik rentas negara.



