Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIACN2025: Dialog Strategik Perkukuh Dasar dan Tadbir Urus Koperasi

ACN2025: Dialog Strategik Perkukuh Dasar dan Tadbir Urus Koperasi

Sempena penganjuran ASEAN Cooperatives Networking 2025 (ACN2025), ANGKASA telah menganjurkan satu sesi dialog iaitu ‘Mini Dialogue 1: Policy & Governance’ di Kuala Lumpur pada 14 Disember 2025,.

Dialog tersebut mengangkat topik “Institutionalizing ASEAN Co-ops: Advancing ACO’s Accreditation and National Policy Coherence”, yang membincangkan kepentingan pengiktirafan institusi koperasi dan penyelarasan dasar antara negara anggota ASEAN.

Selain itu, objektif dialog itu juga adalah untuk menyokong pembangunan koperasi yang lebih tersusun, sistematik dan berdaya saing di peringkat serantau selaras dengan pelaksanaan Resolusi 1 dan Resolusi 2 ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD2025).

Sesi dialog dimoderatorkan oleh Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Naib Presiden ANGKASA merangkap Setiausaha Agung ASEAN Cooperative Organization (ACO), yang memandu perbincangan secara terarah dan fokus.

Anggota panel yang terlibat termasuk Dr. Darjat Sudrajat, Naib Presiden (Sumber Manusia), Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN), yang menekankan kepentingan tadbir urus dan pembangunan modal insan koperasi, serta Ms. Almira Cheska S. Guinto, Ketua Pegawai Eksekutif Pemangku, Philippine Cooperative Centre (PCC), yang berkongsi pengalaman amalan terbaik dari Filipina.

Dalam ucapan aluan, Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menegaskan bahawa dialog dasar di peringkat serantau perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit dan bersepadu.

Beliau menekankan bahawa keseragaman dasar serta pengiktirafan institusi koperasi merupakan asas penting untuk memperkukuh kepercayaan, kebolehpercayaan dan daya tahan gerakan koperasi ASEAN.

Sesi dialog yang berlangsung secara interaktif turut membuka ruang pertukaran pandangan dan perkongsian pengalaman antara panelis dan peserta. Perbincangan ini membolehkan delegasi memahami cabaran bersama yang dihadapi koperasi, selain mengenal pasti peluang kerjasama dan pendekatan strategik yang boleh diselaraskan di peringkat nasional dan serantau.

Secara keseluruhan, Mini Dialogue 1 ini berjaya mencapai objektifnya sebagai platform dialog berfokus dan berimpak. Penganjuran sesi ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman terhadap keperluan penyelarasan dasar koperasi ASEAN, malah meletakkan asas kukuh bagi dialog-dialog seterusnya dalam ACN2025 untuk menterjemahkan resolusi kepada pelaksanaan yang mampan dan berkesan.

Antara wakil ANGKASA yang hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi JKAN Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi JKAN Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine