ASEAN Co-operative Organization (ACO) komited untuk memupuk semangat kerjasama dan sedang berusaha untuk berkongsi pengetahuan, memudahkan perdagangan antara negara selain mewujudkan satu suara untuk koperasi di rantau ASEAN dan dunia.
Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, asas kejayaan gerakan koperasi dapat dilihat berasaskan kepada kepercayaan, sokongan komuniti yang kuat, tadbir pengurusan yang baik dan sentiasa fokus pada keperluan anggota.
Menurut beliau, matlamat dan cabaran gerakan koperasi di ASEAN adalah sama iaitu untuk menjadikan pengurusan koperasi lebih profesional, menangani peraturan dan polisi yang kurang mesra koperasi, mencari dana untuk berkembang dan menarik minat anak muda terhadap koperasi.
Justeru, beliau menyeru agar kepimpinan koperasi ASEAN dapat berkongsi peluang dan meningkatkan kapasiti tadbir urus terutamanya dalam penggunaan teknologi digital, membantu komuniti yang memerlukan dan membina ekonomi yang adil dan mampan untuk semua.
Beliau yang juga Presiden ANGKASA turut meminta agar semua warga koperasi bersama-sama mengukuhkan prinsip koperasi yang keenam iaitu ‘Kerjasama Antara Koperasi’. Menerusi pegangan tersebut, sebuah rangkaian yang merentasi sempadan akan dapat diwujudkan dengan lebih kuat, berinovatif dan menjadi daya penggerak yang hebat untuk kemakmuran yang adil bagi semua komuniti koperasi ASEAN.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sambutan peluncuran Majalah PELUANG Khas iaitu Buku Edisi Kelima ‘100 Koperasi Besar Indonesia’ secara dalam talian pada 19 Jun 2025.
Majlis tersebut yang berlangsung di The Trans Resort Bali, Indonesia menyaksikan kehadiran Naib Gabenor Bali, Bapak I Nyoman Giri Prasta, Penulis dan Pemimpin Peluang Media Group, Bapak Irsyad Muchtar serta barisan kepimpinan dan wakil koperasi besar Indonesia.