Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan 2025 di Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan, hari ini (13 November 2025).
Konvensyen yang bertemakan Koperasi Memperkasa Ekonomi Ummah, Membina Ekonomi MADANI ini menghimpunkan lebih 200 buah Koperasi Kariah Masjid dari seluruh negara. Ia dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta ANGKASA.
Penganjuran konvensyen ini bertujuan memperkukuh peranan koperasi kariah masjid sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat yang berlandaskan prinsip syariah. Ia juga menjadi wadah penyatuan ummah melalui aktiviti ekonomi yang menyentuh pelbagai bidang termasuk keusahawanan dan kesejahteraan sosial.
Pada majlis perasmian itu, Al-Sultan Abdullah bertitah tentang kepentingan pengurusan koperasi yang cekap, telus dan berintegriti bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat. Baginda turut menambah bahawa koperasi kariah masjid perlu menjadi contoh dalam menguruskan ekonomi secara beramanah dan beretika.
“Pengurusan koperasi yang baik bukan sahaja dapat memperkasakan ekonomi masyarakat malah menjadi landasan untuk menyatukan semangat kerjasama dalam kalangan rakyat,”
“Ia dapat menyatukan peranan komuniti melalui program koperasi dan mengukuhkan semangat kerjasama selain dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan serta sumbangan awam,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar koperasi di negeri Pahang terus maju dan menempatkan diri dalam kelompok 10 koperasi terbaik negara. Baginda juga menegaskan bahawa koperasi yang berdaya saing dan berwawasan mampu melonjakkan ekonomi negeri serta memberi impak positif kepada kesejahteraan ummah.
Sehingga 31 Disember 2024, terdapat sebanyak 578 Koperasi Kariah Masjid di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 47,830 orang. Nilai syer dan yuran terkumpul mencecah RM16.56 juta manakala jumlah aset keseluruhan adalah sebanyak RM41.11 juta dengan perolehan RM30.6 juta.
Secara keseluruhan, pergerakan koperasi di Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif. Terdapat 16,284 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang. Jumlah modal syer koperasi adalah RM18.3 bilion dengan aset mencecah RM173.3 bilion dan perolehan sebanyak RM68.1 bilion.
Konvensyen ini turut menjadi medan perkongsian amalan terbaik serta sesi dialog strategik antara koperasi. Melalui perbincangan ini, pelan tindakan yang lebih mampan dan berimpak tinggi dapat dirangka bagi memperkukuh peranan koperasi kariah masjid sebagai enjin pertumbuhan ekonomi tempatan.
Majlis perasmian turut menyaksikan penyampaian Anugerah Koperasi Kariah Masjid Terbaik 2025 kepada Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya Berhad dan Anugerah Koperasi Kariah Masjid Harapan 2025 kepada Koperasi Kariah Masjid Nurussalam Gerik Berhad, serta Sumbangan Dana Wakaf kepada Koperasi Kariah Masjid Tengku Mahkota Abdullah Rompin Berhad. Pengiktirafan dan sumbangan ini memberi galakan kepada koperasi lain untuk terus meningkatkan prestasi dan keupayaan pengurusan masing-masing.
Hadir dalam program ini ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Puan Noor Afifah binti Abdul Razak, serta Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Naib Presiden ANGKASA, Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Encik Azizul Alias dan barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri.



























