Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (empat dari kiri) bersama barisan kepimpinan ANGKASA bergambar dengan Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, TYT Irfan Davudor di Kedutaan Republik Azerbaijan di Kuala Lumpur. pada
ANGKASA menaruh keyakinan tinggi terhadap usaha meneroka kerjasama melalui Program Advokasi OIC-Cooperative Union (OIC-CU) bersama Republik Azerbaijan.
Hasrat itu dinyatakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika mengetuai Kunjungan Hormat menemui Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, TYT Irfan Davudor di Kedutaan Republik Azerbaijan bertempat di pejabat kedutaan negara tersebut di Kuala Lumpur pada 21 April 2025.
Dato’ Seri Dr. Abdul Fattah berharap Republik Azerbaijan memainkan peranan dalam menyokong usaha dan program advokasi melalui inisiatif platform OIC-CU khususnya dalam bentuk perkongsian teknikal, latihan dan lawatan rasmi selain keterlibatan dengan institusi perbankan Islam di Azerbaijan.
Menurutnya, OIC-CU kini berada di peringkat fasa terakhir pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta bekerjasama erat dengan Kementerian Luar Negeri dalam usaha merealisasikan kesatuan tersebut.
Katanya, ANGKASA komited dan sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan 57 buah negara OIC sebelum meluaskan jaringan ke negara Eropah dan rantau lain.
Selain itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menjemput secara rasmi TYT Irfan Davudor untuk menghadiri ASEAN Co-operative Dialogue 2025 yang bakal berlangsung di Petaling Jaya pada Mei depan.
Menurut TYT Irfan Davudor, Azerbaijan berusaha memainkan peranan lebih aktif di arena global dalam negara organisasi antarabangsa selain menyumbang kepada pembangunan lebih selamat dan komprehensif untuk kemanusiaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha ANGKASA mengiktiraf koperasi sehingga gerakan mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi rakyat.
Jelasnya, Azerbaijan sangat mengalu-alukan tunjuk ajar dan panduan mengenai ilmu koperasi daripada ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi di Malaysia kerana meyakini bahawa sektor koperasi berupaya menggalakkan perkembangan ekonomi secara inklusif serta sebagai platform terbaik dalam memperkasakan komuniti di peringkat akar umbi.
Malaysia dan Azebaijan telah menjalinkan hubungan sejak 5 April 1993 dan kedua-dua negara menyaksikan pertumbuhan ketara dalam pelbagai bidang merentasi bidang ekonomi, kemanusiaan, pendidikan, termasuk tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan pelaburan.
Kedutaan Azerbaijan di Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik di antara kedua negara serta berfungsi sebagai pusat menguruskan urusan dasar luar, perdagangan dan kerjasama budaya dan menyediakan perkhidmatan kepada warganegara Azerbaijan yang berada di Malaysia.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah Anggota Lembaga ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Ishak serta Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Dr. Noraini Mohamad.















