Thursday, July 31, 2025
HomeANTARABANGSAANGKASA Kongsi Inisiatif Inovasi di Bengkel Antarabangsa di China

ANGKASA Kongsi Inisiatif Inovasi di Bengkel Antarabangsa di China

Oleh: Nor Lela Abdul Ghani

ANGKASA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah menghadiri sesi pembukaan bengkel ‘Workshop on The Sustainable Development and Capacity Building of Cooperatives’ di Guangzhou, China pada 23 Julai 2025. Bengkel anjuran Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dengan kerjasama koperasi All China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC) itu diadakan bersempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden ICA-AP dalam kenyataannya berkata, kerjasama antara koperasi rantau Asia Pasifik perlu diperkukuhkan untuk meningkatkan pembangunan kapasiti dan perdagangan antara koperasi dengan koperasi (C-2-C) khususnya perkongsian kepakaran dalam inovasi dan digitalisasi bagi meningkatkan daya saing koperasi. 

Beliau berkata, peluasan penempatan produk dan perkhidmatan koperasi ke pasaran dunia mampu dipertingkatkan menerusi strategi pemasaran dan pengukuhan jenama koperasi untuk bersaing dengan keluaran pasaran luar.

Bengkel itu diadakan bersempena dengan penganjuran Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP. Delegasi Malaysia turut disertai oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh. Bengkel tersebut menghimpunkan para pemimpin koperasi dari negara rantau Asia Pasifik bagi membincangkan cabaran semasa dan peluang baharu dalam memperkasakan pembangunan mampan gerakan koperasi.

Presiden ICA-AP, Dr. Chandra Pal Singh Yadav dalam ucapan aluannya menekankan peranan penting koperasi sebagai pemangkin perubahan positif dalam dunia yang semakin kompleks. Beliau menyeru agar gerakan koperasi memanfaatkan peluang bengkel itu sebagai medan dialog bermakna dan pembelajaran bersama, khususnya dalam mendepani krisis global berkaitan perubahan iklim, kepesatan teknologi digital, keselamatan makanan dan inovasi. Beliau turut menegaskan bahawa model koperasi mampu menawarkan penyelesaian berasaskan prinsip demokrasi, kesaksamaan, solidariti dan kelestarian.

Presiden Lembaga Penyelia ACFSMC, Mr. Adili Wubuli dalam ucaptamanya menggariskan lima strategi utama dalam memperkasakan pembangunan mampan koperasi rantau Asia Pasifik merangkumi inovasi dalam tadbir urus melalui sistem perusahaan moden, pembangunan koperasi digital berasaskan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) serta pembentukan model organisasi dan perniagaan baharu yang lebih responsif.

Beliau turut menegaskan kepentingan penjenamaan koperasi untuk menarik minat belia dan meningkatkan pengiktirafan awam selain memperkukuh pendidikan dan latihan sebagai asas dalam  meningkatkan bakat dalam kepimpinan koperasi. Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama pragmatik antara koperasi serantau khususnya dalam memanfaatkan kekuatan 29 negara anggota ICA-AP yang berpotensi tinggi dalam perdagangan merentasi sempadan.

Turut memberikan ucapan pada majlis pembukaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Wilayah Guangdong, Ms. Guo Yile serta Presiden International Cooperative Agricultural Organisation (ICAO) dan National Agriculture Cooperative Federation (NACF), Korea, Mr. Kang Ho-Dong.

ANGKASA diberi penghormatan untuk menyampaikan pembentangan dalam Sesi 2: Inovasi Sebagai Pemacu Pembangunan Mampan Koperasi. Dalam sesi itu, ANGKASA membentangkan peranan inovasi sebagai pemacu utama dalam mentransformasi koperasi ke arah kelestarian, daya tahan dan daya saing.

Pembentangan menekankan keutamaan dalam pembangunan digital koperasi melalui inisiatif e-Dagang, fintech dan automasi perniagaan antaranya melalui sistem digital seperti Jimatshop, e-SPGA, e-Undi, SPeKAR dan MyISCO MCash. Pembentangan disampaikan oleh Pengurus Seksyen ANGKASA Niaga, Nurliyana Adam dan Pengurus Bahagian Pembangunan Sumber Manusia ANGKASA, Haslinda Hamzah.

Penyertaan aktif ANGKASA dalam bengkel antarabangsa adalah komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh gerakan koperasi serantau dan global. Usaha itu juga selari dengan strategi ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi negara dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa demi meningkatkan potensi perniagaan koperasi dan menyumbang kepada hala tuju pembangunan koperasi Asia Pasifik.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine