Lawatan rasmi ANGKASA ke Indonesia melabuhkan tirainya dengan satu inisiatif berimpak tinggi apabila Koperasi Konsumen Berkah Bersama berjaya ditubuhkan di Masjid Darul Rihlah, Rancabali, Bandung pada 9 Februari 2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan ANGKASA dalam memperjuangkan pembangunan ekonomi berteraskan kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti.
Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Ketibaan delegasi ANGKASA disambut oleh pimpinan dan wakil pelbagai peringkat termasuk Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia, BAZNAS Kabupaten Bandung, pentadbiran daerah serta kepimpinan tempatan. Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan sokongan kolektif terhadap usaha membangunkan model ekonomi komuniti yang inklusif dan berteraskan nilai kebersamaan.
Dalam ucapan aluan, Ketua Koperasi Konsumen Berkah Bersama, Ustaz Agus Ruhyat, merakamkan penghargaan atas kesudian ANGKASA berkongsi kepakaran dan pengalaman pengurusan koperasi. Beliau menyifatkan penubuhan koperasi ini sebagai satu ikhtiar kemanusiaan yang mampu meringankan beban kos sara hidup masyarakat setempat serta membuka peluang ekonomi secara berterusan.
Beliau turut menekankan bahawa koperasi ini bukan sahaja menyediakan akses barangan keperluan pada harga berpatutan, tetapi juga menjadi platform untuk mendidik dan melatih anggota komuniti dalam kemahiran pengurusan, perniagaan dan kewangan, sekaligus membina budaya ekonomi berdaya tahan yang memberi manfaat jangka panjang. Menurut beliau, model seperti ini boleh menginspirasi masjid dan komuniti lain di Indonesia untuk menubuhkan inisiatif serupa yang menggabungkan aspek sosial, ekonomi dan pendidikan.
Beliau seterusnya menyatakan hasrat pihak pengurusan koperasi dan masjid untuk menjadikan kejayaan koperasi kariah masjid di Malaysia sebagai contoh dan rujukan dalam membangunkan Koperasi Konsumen Berkah Bersama. Pendekatan koperasi masjid di Malaysia yang menekankan tadbir urus berintegriti, penglibatan aktif kariah serta kepelbagaian aktiviti ekonomi dilihat mampu mewujudkan sumber pendapatan mampan bagi masjid dan komuniti setempat.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya menegaskan bahawa koperasi konsumen yang diurus secara profesional dan berintegriti berupaya berperanan sebagai mekanisme perlindungan sosial, khususnya dalam mendepani tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global. Menurut beliau, pendekatan koperasi yang berteraskan kebersamaan membolehkan manfaat ekonomi diagihkan secara lebih adil, sekali gus membantu merapatkan jurang sosial dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menggariskan potensi besar masjid sebagai pusat penyelesaian isu kemanusiaan dan sosioekonomi, bukan hanya terhad kepada fungsi ibadah semata-mata. Melalui inisiatif seperti koperasi konsumen, masjid mampu menjadi pemangkin pemberdayaan ekonomi, memperkukuh jaringan sokongan komuniti serta menyediakan bantuan yang mampan dan berstruktur kepada golongan memerlukan.
Sebagai penutup lawatan rasmi ANGKASA ke Indonesia, program ini berjaya mencapai objektif yang digariskan termasuk memperkukuh hubungan strategik serantau, memperluas kerjasama koperasi serta memindahkan pengetahuan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat, selaras dengan aspirasi kemanusiaan gerakan koperasi di peringkat serantau dan antarabangsa.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil; Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman; serta Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.



































