Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA dan lima universiti merupakan langkah rasmi dalam menjalinkan kerjasama strategik antara kedua belah pihak melibatkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dan Universiti Antarabangsa MAIWP (UNIMAIWP).
Majlis tersebut menjadi titik permulaan kepada usaha kolaboratif yang merangkumi bidang penyelidikan, pembangunan bakat, perkongsian, kepakaran serta perlaksanaan program-program yang memberi manfaat bersama, selain memperkukuh hubungan industri dan akademia dalam usaha melahirkan graduan berkualaiti tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Demikian ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah pada Majlis Pertukaran Dokumen MoU dan Institut Pengajian Tinggi Terpilih di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, pada 26 Februari 2026.
Menurutnya, terdahulu Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang bertajuk “RMK13: Pemangkin Transformasi Koperasi Nasional” yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Industri Perkhidmatan, Kementerian Ekonomi, Dr Nassar Nordin pada Siri Bicara Minda, merupakan perkongsian bermanfaat berkaitan peluang-peluang ekonomi dan peruntukan-peruntukan dana yang boleh dimanfaatkan oleh ANGKASA dan gerakan koperasi.
Sebagai rakan strategik pembangunan negara, gerakan koperasi yang dipayungi oleh ANGKASA memainkan peranan signifikan dalam memperkasa ekonomi rakyat. RMK13 menjadi platform strategik untuk mentransformasikan koperasi sebagai pemacu pertumbuhan baharu (new growth driver).
Beliau mengharapkan setiap kumpulan yang terlibat mengambil tindakan susulan untuk mendapatkan peruntukan daripada agensi-agensi lain selain Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang sesuai dengan cadangan projek selari dengan dasar yang telah ditetapkan RMK13.
Kolaborasi strategik itu merupakan salah satu usaha dan pemacu penting kepada pembangunan mampan seiring dengan aspirasi Kerajaan Malaysia untuk memperkukuh ekosistem ekonomi rakyat dan memperkasa agenda Malaysia MADANI.
“Sebagai badan puncak gerakan koperasi negara, ANGKASA berperanan memperkasa lebih 16,342 koperasi melalui pengukuhan tadbir urus, pembangunan kapasiti, inovasi perniagaan dan jaringan strategik. “ujar beliau.
Dalam konteks ini, IPT berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu, penyelidikan, inovasi dan pembangunan modal insan yang mampu menyokong transformasi koperasi ke arah entiti yang lebih progresif dan berdaya saing global.
Tambahnya lagi, ANGKASA dan IPT yang terpilih menyatakan komitmen untuk membangunkan ekosistem koperasi berasaskan ilmu (knowledge-driven cooperative ecosystem) yang mampu menjana nilai ekonomi, sosial dan komuniti secara menyeluruh. Kerjasama itu memperkukuh kapasiti organisasi, malah menyumbang kepada pembentukan generasi pemimpin koperasi yang kompeten dan berwawasan.
Kesepaduan kepakaran akademik dan pengalaman industri, kerjasama strategik ini diyakini akan menjadi katalis penting dalam mempercepat transformasi koperasi sebagai sektor ekonomi rakyat yang berdaya tahan termasuklah memperkasa koperasi siswa, selaras dengan agenda pembangunan negara.
Hadir sama ialah Naib Canselor UMK, Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah, Naib Canselor UKKM, Dato’ Prof. Dr. Azali Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Wakil NC) UNIMAIWP, Prof. Dr. Rosylin Yusof, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Prof. Ts. Dr. Norhana Abdul Halim, Penolong Naib Canselor (Strategik Korporat) UM, Profesor Dr. Yahaya Ahmad, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah.














