ANGKASA mempersiapkan Pasukan Tindakan Kecemasannya, atau dikenali sebagai Emergency Response Team (ERT) ANGKASA, menerusi Kursus Asas Kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor.
Kursus selama tiga hari bermula 26 Januari 2026 itu disertai 50 anggota ERT dan bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan organisasi dalam menghadapi situasi kecemasan, khususnya kebakaran di dalam premis.
Timbalan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, berkata penubuhan ERT ANGKASA mencerminkan komitmen organisasi dalam memperkukuh pengurusan keselamatan serta kesiapsiagaan kecemasan di peringkat dalaman.
“Struktur pasukan yang teratur, diketuai oleh Insiden Komander dan dibantu Penolong Insiden Komander, selain anggota pemadaman api, mencari dan menyelamat, pertolongan cemas serta kawalan trafik, amat penting bagi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan,” katanya ketika merasmikan kursus pada 26 Januari 2026.
Menurutnya, tindakan awal tersebut perlu dilaksanakan sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat serta pasukan kecemasan lain seperti ambulans.
Tambah beliau, pasukan itu akan bertindak di peringkat awal bagi membantu memadamkan kebakaran, di samping memastikan kakitangan lain keluar dari bangunan secara teratur dan berkumpul di lokasi yang telah ditetapkan dengan selamat. Sekiranya terdapat kakitangan yang mengalami kecederaan, pasukan berkenaan juga akan memberikan rawatan awal bagi mengurangkan tahap trauma.
Kursus berkenaan menampilkan Timbalan Penguasa Bomba merangkap Ketua Balai Bomba Petaling Jaya, Tuan Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, bersama dua pegawainya, iaitu Tuan Franklin Lipa Anak Belun dan Tuan Roland Anak Kenawang.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan pengisian teori dan praktikal, merangkumi pengenalan punca kebakaran, kaedah pencegahan, penggunaan alat pemadam api, prosedur pemindahan kecemasan serta latihan pemadaman kebakaran secara terkawal.
ANGKASA turut akan mengadakan Latihan Kebakaran (Fire Drill) pada 28 Januari 2026 yang melibatkan seluruh warga ANGKASA. Latihan dan simulasi tersebut akan dibantu oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya.



























