Thursday, July 31, 2025
HomeANTARABANGSAANGKASA Perkukuh Kerjasama Serantau, Tawar Model Perniagaan kepada Sektor Koperasi Filipina

ANGKASA Perkukuh Kerjasama Serantau, Tawar Model Perniagaan kepada Sektor Koperasi Filipina

ANGKASA terus mengukuhkan peranan serantaunya menerusi tawaran model perniagaan koperasi berdaya maju kepada sektor koperasi Filipina dalam forum Cooperative Leader’s Forum anjuran Philippine Cooperative Center (PCC) yang berlangsung di Quezon City, Filipina pada 10 Julai 2025.

Program tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi PCC, Mr. Isagani B. Daba, Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd. Shukree Che Isa serta Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.

Dalam pembentangan bertajuk ‘Pelan Strategik ANGKASA: Model Terbukti untuk Kelestarian Koperasi’ (The ANGKASA Blueprint: A Proven Model for Cooperative Sustainability), Dato’ Haji Che Mohd. Shukree menegaskan bahawa sistem kewangan yang mantap menjadi asas kepada kestabilan gerakan koperasi.

“Infrastruktur kewangan adalah tunjang kepada gerakan koperasi yang kukuh,” katanya sambil menjelaskan bahawa Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA), iaitu perkhidmatan potongan gaji automatik yang diurus sepenuhnya oleh ANGKASA sejak April 1977, telah berjaya menyokong pertumbuhan koperasi kredit secara mampan di Malaysia.

Beliau turut menyatakan kesediaan ANGKASA untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran teknikal kepada sektor koperasi Filipina bagi membangunkan sistem yang bersesuaian dengan keperluan tempatan.

Dalam sesi yang sama, beliau turut mengetengahkan potensi kerjasama dalam sektor hartanah dan pembinaan.

“Di luar bidang kewangan, koperasi mempunyai potensi besar dalam sektor pembangunan hartanah. Melalui MyANGKASA Bina Sdn. Bhd., kami telah memperoleh pengalaman luas dalam pengurusan dan pelaksanaan projek. Kami mengalu-alukan rakan di PCC untuk bersama meneroka peluang membina aset yang memberi manfaat jangka panjang kepada anggota,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam forum yang sama, gerakan koperasi Filipina turut menyatakan komitmen penuh terhadap usaha membawa suara koperasi ke peringkat tertinggi ASEAN.

PCC dan Cooperative Development Authority (CDA), iaitu badan kawal selia koperasi di Filipina juga menyatakan sokongan terhadap usaha ASEAN Co-operative Organization untuk membawa agenda koperasi ke peringkat Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.

Komitmen itu diperkukuh dengan kesiapsiagaan PCC dan CDA untuk memperhebat usaha advokasi dan melaksanakan resolusi ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD2025), khususnya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2026 yang bakal dihoskan oleh Filipina.

Kerjasama erat antara gerakan koperasi Malaysia dan Filipina dijangka mampu memperkukuh kedudukan koperasi sebagai rakan strategik dalam pembangunan sosioekonomi ASEAN, sekali gus mencorakkan masa depan yang lebih lestari untuk gerakan koperasi serantau.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine