Tuesday, March 3, 2026
HomeAGENSIANGKASA Sambut Baik Peruntukan RM4.4 Juta Bagi Pacu Pembangunan Koperasi

ANGKASA Sambut Baik Peruntukan RM4.4 Juta Bagi Pacu Pembangunan Koperasi

ANGKASA menyambut baik pengumuman peruntukan RM4.4 juta yang akan disalurkan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPB) bagi tahun 2026.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Encik Steven Sim Chee Keong, dalam amanatnya semasa mengadakan lawatan rasmi ke ANGKASA di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor, pada 29 Januari 2026. Lawatan berkenaan merupakan yang pertama oleh beliau sejak menerajui KUSKOP pada Disember 2025.

“Untuk terus menyokong ANGKASA sebagai rakan kongsi KUSKOP paling dekat dari segi sektor koperasi, KUSKOP menerusi SKM akan menyalurkan dana RM4.4 juta untuk tahun 2026 berbanding RM3 juta pada tahun 2025,” kata beliau.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM254 juta menerusi SKM bagi pelaksanaan 28 program pembangunan koperasi sepanjang tahun 2026 melalui geran dan pembiayaan.

Peruntukan tersebut mencatat peningkatan sebanyak 167 peratus berbanding tahun 2025 dan merupakan jumlah tertinggi yang pernah disalurkan sejak penubuhan gerakan koperasi pada tahun 1922, sekali gus mencerminkan komitmen kukuh Kerajaan MADANI dalam memperkasa koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa fokus utama KUSKOP ketika ini adalah berteraskan Strategi ABCD, iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran, bagi memastikan gerakan koperasi terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam landskap ekonomi semasa.

Mengulas mengenai asas perjuangan koperasi, beliau berkata koperasi berpaksikan tiga perkara utama, iaitu menjana ekonomi rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membina perpaduan rakyat. Menurutnya, perjuangan koperasi tidak seharusnya dilihat semata-mata berorientasikan keuntungan, sebaliknya perlu memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa koperasi merupakan wadah yang sangat berkesan dalam memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai lapisan, sekali gus menyumbang kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi serta pandangan mengenai perkembangan gerakan koperasi di Malaysia.

“Pengalaman saya dalam koperasi adalah dulu waktu sekolah jual pemadam. Jadi saya berasa amat kagum dan dalam masa sama berasa kerdil sebab saya ingat saya tahu mengenai koperasi, tetapi sebenarnya banyak benda dan banyak perkembangan yang cukup hebat dan pencapaian setakat ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju koperasi negara, beliau berkata Aspirasi Koperasi Malaysia berada pada landasan yang baik dengan nilai baiah yang masih terpelihara.

“Aspirasi Koperasi Malaysia sudah cukup baik. Baiah masih terjaga. Saya harap kita boleh bukan sahaja teruskan, tetapi kita perincikan sebab mungkin ada benda-benda baharu dan kadang kala kita kena duduk bersama untuk lihat balik perkara yang bercanggah atau yang melepasi baiah, kita kena tengok balik,” katanya.

Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata pihaknya akan memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan secara berkesan dan berimpak tinggi, khususnya dalam usaha memperkukuh keupayaan koperasi, melahirkan modal insan berkualiti serta memperluas akses pembiayaan kepada koperasi di semua peringkat.

Menurutnya, pendekatan berfokus dan berasaskan keperluan sebenar koperasi akan terus diberi keutamaan bagi memastikan manfaat peruntukan tersebut dapat dirasai secara menyeluruh oleh gerakan koperasi.

Beliau turut berharap KUSKOP di bawah kepimpinan YB Steven akan terus membela serta memperjuangkan kemajuan koperasi, seiring aspirasi kerajaan untuk menjadikan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat yang mampan dan inklusif.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Tuan Haji Rahman Mohd Din, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Puan Noor Afifah Abdul Razak serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Institut Koperasi Malaysia, Puan Hamidah Mohd Jos.

Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-Naib Presiden ANGKASA, iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Anggota Lembaga ANGKASA, iaitu Encik Azizul Alias (wakil KUSKOP) dan Encik Ezleezan Othman (wakil Kementerian Kewangan Malaysia), barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA serta Pengurusan Kanan ANGKASA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine