ANGKASA menyatakan sokongan terhadap gesaan Jawatankuasa Wanita Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dan Jawatankuasa Kerjasama Belia ICA-AP agar organisasi itu mempertimbangkan pindaan terhadap struktur tadbir urusnya bagi memberikan hak mengundi penuh kepada wakil belia dan wanita dalam Lembaga Serantau ICA-AP.
Perkara itu disuarakan oleh Naib Presiden ICA-AP merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP yang dipengerusikan oleh Presiden ICA-AP, Dr. Chandrapal Singh Yadav secara hibrid dari New Delhi, India pada 10 September 2025.
Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, langkah berkenaan selaras dengan usaha memperkukuh prinsip keterangkuman dalam tadbir urus koperasi serta memastikan suara belia dan wanita mendapat pengiktirafan setara dalam proses membuat keputusan.
ICA-AP sebelum ini telah menunjukkan kemajuan dengan memperuntukkan kerusi khusus kepada Jawatankuasa Belia dan Wanita dalam Lembaga Serantau, sekali gus mencerminkan kesedaran terhadap kepentingan kepelbagaian suara dalam tadbir urus koperasi. Namun, kedua-dua wakil jawatankuasa tersebut masih belum mempunyai hak mengundi penuh.
“Sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025, memperkasakan penyertaan belia dan wanita dalam tadbir urus lembaga bukan sahaja penting untuk rantau Asia Pasifik, malah merupakan sumbangan bermakna terhadap nilai serta prinsip koperasi di seluruh dunia. Komitmen ini juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” menurut kenyataan bersama kedua-dua jawatankuasa itu.
Sementara itu, Dr. Chandrapal menggalakkan anggota ICA-AP untuk menghadiri Perhimpunan Serantau ICA-AP Ke-17 yang akan berlangsung di Colombo, Sri Lanka dari 24 hingga 28 November 2025. Perhimpunan anjuran ICA-AP itu akan dihoskan oleh National Council of Cooperatives in Sri Lanka dengan kerjasama beberapa organisasi koperasi di negara berkenaan.
Turut hadir dalam Mesyuarat Lembaga Serantau ICA-AP ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh serta Pengurus Besar Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad.
Sebanyak enam agenda utama telah dibentangkan termasuk kelulusan agenda mesyuarat, pembentangan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan ICA-AP dari Januari hingga Jun 2025 serta kelulusan Belanjawan ICA-AP 2026.






