Semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial ANGKASA terus disemarakkan melalui sumbangan sebuah van jenazah kepada Masjid Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 8 Oktober 2025.
Majlis penyerahan tersebut yang disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut disaksikan oleh Exco Pendidikan dan Modal Insan merangkap ADUN Senaling, YB Dato’ Haji Ismail Haji Lasim.
Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, sumbangan van tersebut diharap dapat membantu pihak masjid dalam menguruskan jenazah selain dapat menjadikan usaha tersebut sebagai amal jariah yang berterusan untuk masyarakat setempat.
Katanya lagi, ANGKASA sentiasa komited dalam usaha untuk terus memperkasakan institusi masjid melalui penubuhan koperasi masjid bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi kariah setempat.
“Koperasi boleh menjadi platform ekonomi untuk kariah bagi menjana pendapatan, mengurus perniagaan kecil dan melaksanakan aktiviti kebajikan dengan lebih tersusun.
Menerusinya juga, akan menggalakkan ahli kariah berganding tenaga dan kepakaran untuk melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Program ini juga mencerminkan keprihatinan gerakan koperasi terhadap kebajikan masyarakat dan tanggungjawab sosial yang menjadi asas perjuangan ANGKASA,” katanya.
Menurut data Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga Disember 2024, terdapat 578 koperasi masjid di seluruh negara dengan keanggotaan hampir 48 ribu orang dan aset berjumlah RM41.1 juta.
Di Negeri Sembilan sahaja, terdapat 51 koperasi masjid yang berdaftar. Pertumbuhan ini menunjukkan potensi besar koperasi dalam memperkukuh ekonomi dan kebajikan ummah meskipun berdepan cabaran pengurusan dan sumber kewangan.
ANGKASA terus komited membantu koperasi masjid melalui latihan, khidmat rundingan dan bantuan teknikal bagi memastikan tadbir urus yang cekap dan berintegriti.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyeru agar kariah Masjid Senaling, Kuala Pilah menubuhkan Koperasi Kariah Masjid sebagai langkah memperkukuh ekonomi komuniti.
Beliau berkata, penubuhan koperasi ini bukan sahaja dapat melahirkan penyumbang aktif dalam kalangan anggota kariah, malah mampu meningkatkan ekonomi serta pendapatan mereka melalui aktiviti keusahawanan dan pengurusan kewangan yang tersusun.
Beliau yakin koperasi masjid bukan sahaja menjana pendapatan untuk masjid tetapi juga membina masyarakat yang bersatu dan prihatin.
ANGKASA akan terus memperkukuh hubungan dengan institusi masjid dan komuniti demi kesejahteraan umat Islam di Negeri Sembilan dan seluruh negara.
Pengerusi Masjid Senaling, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Haji Harun Md Nor dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ANGKASA atas sumbangan Van Jenazah kepada Masjid Senaling.
Beliau menyifatkan sumbangan itu sebagai satu inisiatif yang amat bermakna dan menunjukkan keprihatinan ANGKASA terhadap kebajikan masyarakat setempat.
Menurutnya, kemudahan itu bukan sahaja memudahkan urusan pengurusan jenazah, malah menjadi simbol kepedulian sosial dan semangat kerjasama antara institusi masjid dan gerakan koperasi.
Turut hadir ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Daerah Kuala Pilah, Ustaz Raizalani Mohd Rais, Timbalan Pegawai Hal Ehwal Agama Islam Daerah Kuala Pilah, Ustaz Muhammad Abdul Hadi Ismut dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Kariah Koperasi Masjid ANGKASA, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman.











