Thursday, October 16, 2025
HomeAGENSIANGKASA Tawar Pakej MyVilla Kepada Generasi Kedua FELDA Palong Timur

ANGKASA Tawar Pakej MyVilla Kepada Generasi Kedua FELDA Palong Timur

ANGKASA menerusi anak syarikatnya iaitu MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. sedia menawarkan pakej rumah kediaman di bawah projek MyVilla kepada pemilik tanah generasi kedua FELDA Palong Timur.

Pakej yang merangkumi pelbagai jenis rekabentuk banglo dengan harga yang berpatutan serta terjamin itu dilaksanakan dengan jaminan ANGKASA selain mampu disiapkan dengan lebih cepat dan berkualiti tinggi.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyatakan cadangan tersebut kepada media sewaktu menghadiri Majlis Penyampaian Hak Milik Tapak Bangunan (Rumah Kediaman) Generasi Kedua FELDA Palong Timur 1, 2 dan 3 Mukim Gemas bertempat di SMK Palong Timur di Segamat, Johor pada 27 September 2025.

Menurut beliau, cadangan tersebut juga merupakan rentetan hasil perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip yang juga merupakan ADUN Buloh Kasap sewaktu Majlis Perasmian Pembukaan Program Inspirasi Pelajar Tajaan Bersama Keluarga Angkat Komuniti FELDA dan Karnival Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi 2025 pada 12 September 2025.

Dato’ Zahari yang merasmikan majlis penyampaian geran tersebut turut diiringi Pegawai Daerah Segamat, Haji Mohd Ezzuddin Sanusi, Pentadbir Tanah Segamat, Haji Mohamad Yazid Baharudin, Pengurus Besar Felda Wilayah Segamat, Encik Hasrul Nizam Hassan dan Pengerusi MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa.

Majlis tersebut merupakan insentif khas kepada warga FELDA sebagai tanda penghargaan atas usaha dan jasa mereka dalam memajukan tanah rancangan sejak sekian lama. Selain itu, penyampaian geran hak milik kepada generasi baharu FELDA turut menjadi detik penting apabila ramai yang kini secara rasmi memiliki hak ke atas tanah pusaka keluarga.

Langkah itu bukan sahaja dapat menjamin kesinambungan warisan peneroka, malah membuka peluang lebih luas kepada generasi muda untuk merancang masa depan ekonomi mereka sendiri.

Inisiatif Perumahan Generasi Baru FELDA (PGBF) yang mula diperkenalkan sejak 2013 bertujuan bagi membantu generasi kedua FELDA memiliki kediaman sendiri dan memastikan komuniti ini kekal stabil serta sejahtera.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine