ANGKASA menerima kunjungan rasmi delegasi daripada CLIMBS Life and General Insurance Cooperative (CLIMBS), sebuah koperasi insurans terkemuka dari Filipina yang diketuai Presidennya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Mr. Noel D. Raboy di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 20 Ogos 2025.
Ketibaan delegasi disambut oleh kakitangan Bahagian Antarabangsa ANGKASA sebelum dibawa melawat ke Muzium Koperasi Malaysia.
Lawatan diteruskan dengan sesi pembentangan korporat, termasuk penerangan mengenai peranan ANGKASA oleh Naib Presiden ANGKASA yang juga Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Dato’ Haji Kamarudin Ismail.
Dalam sesi itu, Mr. Noel turut memperkenalkan CLIMBS, sebuah koperasi insurans yang ditubuhkan pada tahun 1971 di Cagayan De Oro dan kini dikenali sebagai penyedia mikroinsurans hayat dan bukan hayat utama di Filipina.
Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, CLIMBS kekal komited menyediakan perlindungan insurans kepada golongan akar umbi sambil menegakkan prinsip koperasi sebagai teras perniagaan.
Lawatan itu mempererat hubungan dua hala antara ANGKASA dan CLIMBS, di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan dan kerjasama strategik bagi memperkasa gerakan koperasi di rantau ASEAN.




















