ANGKASA menerima kunjungan rasmi delegasi daripada Philippine Army Finance Centre Producers Integrated Cooperative (PAFCPIC), sebuah koperasi kewangan terkemuka dari Filipina yang diketuai Pengerusinya Bgen. Francisco M. Paredes (RET) di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 2 September 2025.
Ketibaan delegasi disambut oleh kakitangan Bahagian Antarabangsa ANGKASA sebelum dibawa melawat ke Muzium Koperasi Malaysia.
Lawatan diteruskan dengan sesi pembentangan korporat, termasuk penerangan mengenai peranan ANGKASA oleh Naib-naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Kamarudin Ismail yang juga Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).
Dalam sesi itu, Bgen. Francisco turut memperkenalkan PAFCPIC, sebuah koperasi khas untuk anggota tentera di Filipina yang ditubuhkan pada tahun 2009 di Quezon City yang menyediakan perkhidmatan pinjaman dan simpanan untuk anggotanya.
Lawatan ini turut mempererat hubungan dua hala antara ANGKASA dan PAFCPIC, di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan dan kerjasama strategik bagi memperkasa gerakan koperasi di rantau ASEAN.






















