Friday, November 14, 2025
HomeAKTIVITIBINA Serah Sijil Pelantikan kepada 19 Rakan Pemaju MyVilla

BINA Serah Sijil Pelantikan kepada 19 Rakan Pemaju MyVilla

MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. (BINA) telah menyerahkan sijil pelantikan kepada 19 rakan pemaju yang bakal melaksanakan projek MyANGKASA Villa (MyVilla), sebagai tanda penghargaan atas kesediaan mereka menjalin kerjasama serta memperlihatkan komitmen anak syarikat ANGKASA itu dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk rakyat.

Sijil tersebut telah disampaikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah kepada wakil 19 rakan pemaju itu dalam satu majlis yang berlangsung di Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 25 Jun 2025. Majlis penyampaian tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi BINA merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd. Shukree Che Isa.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapannya berkata projek MyVilla menyasarkan lebih 30,000 Generasi Baharu FELDA yang memiliki tapak rumah bawah Skim Lot Generasi Baharu FELDA di samping individu berkelayakan dan anggota koperasi yang memiliki lot tanah individu di seluruh negara.

“Kolaborasi strategik bersama FELDA telah pun dimulakan melalui pertemuan awal dengan Jabatan Pengurusan Aset FELDA pada 27 November 2023 yang disusuli dengan sesi perbincangan peringkat tertinggi bersama Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.”

“Hasil daripada siri perbincangan tersebut, Kolaborasi Nasional antara FELDA dengan BINA telah dimeterai pada 13 Julai 2024 sempena sambutan Hari Peneroka FELDA, bagi membantu lebih 30,000 pemilik lot Generasi Baharu FELDA yang melibatkan 130 tanah rancangan di enam buah negeri,” katanya.

Tambah beliau, sesi libat urus pelbagai peringkat turut diadakan dengan pengurusan FELDA, institusi kewangan dan pihak berkuasa tempatan sehingga produk MyVilla dimuktamadkan. Reka bentuk projek itu juga diinspirasikan daripada idea dan hasrat warga FELDA semasa tinjauan oleh pasukan BINA pada September 2024.

Beliau turut menyarankan agar 16 Jawatankuasa ANGKASA Negeri mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri masing-masing bagi meneroka lebih banyak peluang kerjasama dalam agenda pembangunan perumahan melalui platform koperasi. Antara tumpuan utama adalah usaha mengenal pasti lot tanah yang sesuai untuk dibangunkan sebagai kediaman mampu milik bagi anggota koperasi dan rakyat.

MyVilla hadir dengan pelbagai saiz, antara 500 kaki persegi hingga 1,500 kaki persegi, pada harga bermula RM73,000 hingga RM253,000 seunit. Sistem pembinaannya pula menggunakan kaedah ‘Hibrid’ Industrialised Building System (IBS) dan konvensional, menjadikan kediaman tersebut mesra renovasi dan berkualiti.

MyVilla turut ditawarkan lengkap dengan pakej pemasaran, penyediaan pembiayaan, pengurusan kelulusan pihak berkuasa tempatan, pelaksanaan pembinaan serta perkhidmatan selepas jualan.

Turut hadir ialah barisan Ahli Lembaga Pengarah BINA yang terdiri daripada Datuk Dr. Haji Azih Haji Muda, Dato’ Ir. Haji Shukri Muslim, Haji Sazali Abd. Hamid dan Haji Mohamad Hanifah B.K. Koya Moideen Kutty, barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri serta Pengurus Besar Bahagian Projek BINA (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif), Haji Azrul Hisyam Munap.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine