Tuesday, October 14, 2025
HomeAKTIVITIANGKASA Sedia Mekanisma Strategik Bantu Tangani Permasalahan Koperasi Pengusaha Stesen Minyak

ANGKASA Sedia Mekanisma Strategik Bantu Tangani Permasalahan Koperasi Pengusaha Stesen Minyak

ANGKASA sedia mencari mekanisma strategik yang sesuai bagi membantu menangani permasalahan yang dihadapi oleh Koperasi pengusaha stesen minyak di Malaysia.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, perubahan dasar subsidi bersasar dan transformasi pesat ke arah kenderaan elektrik telah memberi cabaran baharu dalam pengurusan dan sasaran jangkauan perolehan kepada perniagaan stesen minyak.

Menurut beliau, peningkatan bilangan kenderaan elektrik yang dijangka mencapai 400,000 unit menjelang 2030 bakal mengurangkan permintaan bahan api fosil secara signifikan, namun cabaran ini harus dilihat sebagai peluang bagi koperasi untuk menceburi model perniagaan baharu seperti perkhidmatan pengecasan kenderaan elektrik, tenaga solar dan biofuel demi memastikan kelangsungan jangka panjang.

Beliau menyatakan demikian sewaktu berucap merasmikan sesi Perbincangan Meja Bulat bertajuk ‘Ancaman Senyap Terhadap Ekonomi Koperasi’ anjuran Koperasi Bumipeda Berhad (KOBB) di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 9 Oktober 2025.

Katanya lagi, sekiranya pelan strategik yang komprehensif tidak dirancang dan digerakkan lebih awal, dikhuatiri boleh menjejaskan pendapatan serta kelangsungan operasi pengusaha stesen minyak dalam jangka masa panjang.

“Justeru, tindakan segera dan bersepadu daripada semua pihak termasuk kerajaan amat diperlukan bagi memastikan perniagaan stesen minyak yang dijalankan oleh koperasi kekal relevan dan terus berdaya saing”, ujar beliau.

Tambah beliau, sebanyak 129 buah koperasi aktif dalam mengusahakan stesen minyak dan mencatat pendapatan kolektif melebihi RM1.09 bilion pada tahun 2024, dengan negeri Pahang, Johor, dan Kedah merekodkan pendapatan tertinggi.

Turut diadakan adalah taklimat dan perbentangan kertas kerja oleh dua panelis iaitu Pengerusi Trans-Nusantara Petroleum Sdn. Bhd, Dato’ Rahim Kamil Sulaiman dan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohammad Zaini Yahaya.

Turut hadir dalam perbincangan tersebut ialah Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah dan beberapa wakil koperasi pengusaha stesen minyak.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine