Thursday, June 19, 2025
HomeAKTIVITIe-SPGA: Inovasi Digital ANGKASA Mudahkan Urusan Potongan Gaji

e-SPGA: Inovasi Digital ANGKASA Mudahkan Urusan Potongan Gaji

ANGKASA memperkenalkan sistem e-SPGA dalam usaha memacu inovasi dan pendigitalan kewangan sektor koperasi. Majlis pra pelancaran sistem tersebut berlangsung di Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 17 Jun 2025.

Sistem itu dibangunkan dengan kerjasama rakan teknologi, CMA Solutions Sdn. Bhd. bagi menggantikan sistem SPGA terdahulu dengan matlamat untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan potongan gaji anggota koperasi di seluruh negara. e-SPGA bukan sahaja menjanjikan prestasi lebih baik, malah dirangka selari dengan keperluan masa depan serta pengalaman pengguna yang lebih mesra dan efisien.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyifatkan pengenalan sistem itu sebagai satu detik bersejarah buat ANGKASA dalam meningkatkan daya saing perkhidmatan organisasi.

“Kita beralih daripada sistem lama kepada sistem baharu – ini satu sejarah. Walaupun banyak halangan, sistem ini akhirnya dapat direalisasikan. Ia memberi penambahbaikan dari segi perkhidmatan, kecepatan, kecekapan dan penjimatan kos,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan yang terlibat secara langsung atas komitmen dan usaha berterusan mereka membangunkan sistem tersebut, meskipun berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses pelaksanaannya.

“Kita tidak boleh ketinggalan. Potongan gaji merupakan nadi kepada perniagaan ANGKASA. Kalau kita tidak bergerak seiring atau lebih ke hadapan dalam industri pengurusan potongan gaji dan sistem kewangan koperasi, kita akan hilang keupayaan untuk bersaing,” tambahnya.

e-SPGA dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta akaun, melibatkan kira-kira 1.5 juta pengguna dan sekitar 18,000 majikan di seluruh negara.

Sementara itu, Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Kewangan Korporat ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa menyatakan bahawa e-SPGA dibangunkan untuk jangka panjang dan berpotensi dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

“Sistem ini bersifat jangka panjang dan dapat menjimatkan kos operasi. Ia boleh digunakan untuk tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, barisan Naib Presiden ANGKASA terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim, Penasihat Korporat (Sektor Kewangan) ANGKASA, Puan Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin serta pengurusan tertinggi ANGKASA diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

Pembangunan sistem e-SPGA melibatkan penambahbaikan menyeluruh termasuk penyusunan semula fungsi, pengkategorian tugas mengikut peranan pengguna dan penyediaan modul latihan yang lebih bersasar.

Sistem berkenaan dibina bukan sekadar untuk menggantikan sistem terdahulu, malah sebagai pelantar digital yang memperkemas urusan antara pelanggan dengan majikan koperasi secara lebih efisien dan tersusun.

Antara kelebihan sistem tersebut adalah pendaftaran borang secara dalam talian, semakan maklumat potongan anggota secara masa nyata serta kemudahan transaksi pembayaran kepada pelanggan. Manual pengguna turut disediakan untuk membantu pemahaman terhadap langkah-langkah penggunaan setiap modul secara sistematik.

Pengguna boleh mengakses sistem itu melalui pautan rasmi: https://espga.sola.my/coop/login

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine