Pencapaian keseluruhan Pelan Strategik ANGKASA 2050 (PESAN50) fasa pertama berada pada paras 94.85 peratus dan prestasi tersebut membuktikan kejayaan dalam pelaksanaannya di samping mencerminkan kesungguhan dan kecekapan warga ANGKASA dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
Demikian menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah semasa berucap dalam Majlis Perasmian Bengkel Pembentangan Pencapaian dan Semakan Semula PESAN50 di Petaling Jaya, Selangor pada 1 Ogos 2025.
“Sepanjang empat tahun lebih pelaksanaan PESAN50 fasa pertama dalam Rancangan Jangka Sederhana bagi tahun 2021 – 2025, ANGKASA berjaya menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan. Namun, harus diakui bahawa masih terdapat ruang yang besar untuk penambahbaikan terutamanya dalam memperkasakan inovasi, membina daya saing dan menjadikan koperasi relevan dalam landskap ekonomi baharu”, ujar beliau.
Fasa kedua PESAN50 akan memberi tumpuan kepada penyelarasan fokus keutamaan, penyelarasan dengan dasar-dasar kerajaan dan penstrukturan semula pelan tindakan yang lebih inklusif dan adaptif.
Justeru katanya, strategi perlu disusun sesuai dengan kehendak dasar negara seperti Dasar Koperasi Malaysia (DAkOM), Pelan Transformasi Digital Koperasi (DIGIKOP) dan Pelan Tindakan Transformasi ANGKASA (PeTTA) di samping memastikannya selari dengan keperluan koperasi serta jangkaan komuniti.
ANGKASA telah mengadakan Bengkel Pembentangan Pencapaian dan Semakan Semula Pelan StrategiK ANGKASA 2050 (PESAN50) sebagai persediaan dalam mendepani fasa kedua strategi Jangka Sederhana ANGKASA 2026 – 2030.
Menjelang tahun 2030, ANGKASA mensasarkan imbangan peningkatan pendapatan 40 peratus daripada Biro Potongan ANGKASA (BPA) dan 60 peratus daripada perniagaan-perniagaan berimpak tinggi daripada kumpulan terlibat.
Beliau menyeru semua Kumpulan, Bahagian dan Seksyen untuk mengadaptasi pelan yang telah dirangka ke dalam tindakan sebenar, disokong dengan pelan kerja tahunan yang lebih mantap dan bersandarkan indikator prestasi yang jelas.
Dalam fasa seterusnya, tumpuan perlu diberi kepada pembinaan kapasiti koperasi secara lebih menyeluruh, mengangkat koperasi ke tahap daya saing, di samping melahirkan lebih ramai pemimpin koperasi yang berpandangan jauh dan bersedia dengan perubahan.
“Saya percaya segala input, cadangan dan strategi yang telah dibincangkan dalam bengkel ini akan menjadi titik tolak kepada fasa transformasi yang lebih matang dan menyeluruh.”ujarnya mengakhiri ucapan.
Seramai 50 peserta dalam kalangan kakitangan pengurusan ANGKASA menghadiri bengkel selama dua hari itu.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim dan Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) dan Datuk Haji Md. Yusof Samsudin.




