Tuesday, March 3, 2026
HomeAGENSIForum Perdana Ehwal Islam Kupas Tajuk Ilmu Setinggi Angkasa

Forum Perdana Ehwal Islam Kupas Tajuk Ilmu Setinggi Angkasa

ANGKASA tampil sebagai penaja bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menjayakan program Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 4 Disember 2025.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM itu turut menghimpunkan warga koperasi dan masyarakat setempat, khususnya dari Negeri Selangor.

Forum bertajuk ‘Ilmu Setinggi ANGKASA’ itu menampilkan moderator iaitu Ustaz Zakaria Othman bersama tiga panel jemputan iaitu Timbalan Mufti Negeri Pahang, Dato’ Dr. Badli Shah Alauddin; Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah, Dato’ Malai Ali Malai Ahmad; serta pendakwah, Ustaz Dr. Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa.

Perbincangan forum menekankan bahawa ilmu merupakan kunci kepada peningkatan taraf hidup, lambang kematangan berfikir, asas pembinaan tamadun dan pendorong utama kejayaan ummah. Malah, sesiapa yang memudahkan urusan penuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan urusannya. Terdapat juga perbezaan ketara antara mereka yang berilmu dan yang sebaliknya.

Manfaat ilmu yang kukuh dapat dilihat melalui kejayaan koperasi kariah masjid yang kini mampu bersaing dalam ekonomi masa kini. Keupayaan koperasi menguasai platform e-dagang menjadikan kuasa ekonomi mereka lebih besar, sekali gus memastikan perkhidmatan dapat ditawarkan pada harga yang lebih adil meskipun berdepan tekanan kos sara hidup.

Sehingga 31 Disember 2024, Koperasi Kariah Masjid mencatatkan keanggotaan seramai 47,830 orang, jumlah syer dan yuran terkumpul sebanyak RM16.56 juta, aset berjumlah RM41.11 juta serta perolehan sebanyak RM30.6 juta — satu pencapaian yang amat membanggakan.

Peranan ANGKASA dalam membimbing masyarakat melalui pembangunan koperasi bermula dari tempat penuh keberkatan seperti masjid dan surau amatlah terpuji. Seruan azan sendiri mengajak umat menuju kejayaan, maka masjid dan surau wajar memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuh ekonomi ummah melalui penubuhan koperasi kariah.

Bermula dengan ilmu, anggota kariah diseru bersatu menubuhkan koperasi berlandaskan adab dan amanah. Masih terdapat kira-kira 90 peratus masjid dan surau yang belum menubuhkan koperasi. Usaha mendirikan koperasi masjid adalah satu bentuk jihad ummah yang menjanjikan ganjaran besar di dunia dan akhirat. Koperasi kariah masjid sepatutnya menjadi platform mempamerkan integriti, menjaga amanah serta membantu anggota yang memerlukan, sekali gus membentuk imej ummah yang cemerlang.

Majlis ilmu tersebut turut dihadiri oleh ADUN Seri Setia merangkap EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah; Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah mewakili Ketua Pengarah JAKIM, Dr. Muhammad Yamin Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) mewakili Ketua Pengarah Penyiaran, Encik Hamzah Ishak; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Encik Mohd Zaib Mat Yunus; Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; barisan Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah; Anggota Lembaga ANGKASA mewakili Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Encik Azizul Alias serta barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri, pengurusan dan kakitangan ANGKASA.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine