Koperasi Kariah Masjid (KKM) berpotensi untuk dijadikan sebagai platform baharu dalam usaha mengimarahkan lagi masjid melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh kariahnya.
Menerusi pendekatan tersebut, suasana di perkarangan masjid bukan sahaja akan menjadi lebih meriah dengan pelbagai aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan, malah berupaya membantu meningkatkan ekonomi kariah masjid itu sendiri.
Demikian dijelaskan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu mengadakan satu kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Dato’ Haji Harith Fadzilah Abdul Halim di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, Perak pada hari ini, 26 September 2025.
Menurutnya, usaha untuk mengimarahkan masjid melalui aktiviti ekonomi koperasi boleh membantu meningkatkan fungsi dan daya tarikan baharu kepada masjid selain hanya berperanan sebagai pusat ibadah semata-mata.
Beliau yang diiringi Pengerusi ANGKASA Negeri Perak, Haji Mohamed Shafie Abd Karim turut berharap agar jalinan kerjasama antara ANGKASA dan JAIPk boleh ditingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi demi pembangunan institusi masjid khususnya di negeri tersebut.
Sebagai rekod, sebanyak 71 KKM telah didaftarkan di Perak daripada keseluruhan 680 KKM yang berdaftar di seluruh negara.
Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk, Haji Firdaus Salleh dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman.








