Koperasi wanita perlu berperanan secara lebih signifikan bagi menjadikannya sebagai platform penting dalam membangunkan ekonomi keluarga dan masyarakat.
Demikian menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Agung KOWILIP Kali Ke-8 Daerah Lipis yang diadakan di Hotel Lipis Centrepoint, Kuala Lipis, Pahang pada 30 September 2025.
Katanya, kajian menyebut bahawa koperasi wanita memainkan peranan istimewa dalam membangunkan usahawan wanita, keluarga sejajar dengan Dasar Keusahawanan Negara.
“Menurut perangkaan am gerakan koperasi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi tahun 2024, sebanyak 1,173 buah koperasi telah didaftarkan di Negeri Pahang dengan keanggotaan seramai 307,699 orang, syer dan yuran berjumlah RM 452.15 Juta, Aset bernilai RM 1,705.56 Juta dan perolehan sebanyak RM 979.82 Juta.
KOWILIP telah mencatat keanggotaan seramai 264 orang dan saya yakin koperasi berada pada posisi strategik untuk menyumbang lebih besar kepada pembangunan kawasan Kuala Lipis dan kawasan sekitar”, ujar beliau.
Sejak KOWILIP ditubuhkan pada tahun 2017, koperasi sentiasa bersemangat untuk menaikkan taraf kebajikan ekonomi dan sosial masyarakat Kuala Lipis khususnya golongan wanita.
KOWILIP kini berkembang menjadi sebuah entiti koperasi yang kukuh, malah berani meneroka peluang perniagaan baharu.
“Saya berbangga kerana koperasi ini mempunyai tadbir urus yang baik dan aktif berkoperasi sehingga saat ini. Kejayaan tersebut membuktikan bahawa dengan kepimpinan yang berintegriti, penyertaan aktif anggota serta sokongan padu daripada pelbagai pihak, koperasi boleh relevan dan menjadi tonggak penting dalam pembangunan ekonomi”, ujarnya lagi.
Bengkel batik dan pengeluaran serta penjualan air mineral yang dijalankan koperasi turut membuktikan potensi produk tempatan untuk dikomersialkan secara meluas selaras dengan permintaan masyarakat.
Menurutnya lagi, potensi KOWILIP boleh digerakkan dengan lebih bersepadu dengan kerjasama erat bersama ANGKASA, SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).
ANGKASA sentiasa membuka peluang kepada koperasi yang berpotensi untuk terlibat dalam jaringan perniagaan bersesuaian.
Seramai 127 anggota hadir pada majlis tersebut. Hadir sama ialah Pengerusi koperasi, Puan Wan Norizan Haji Wan Badaruzzaman, Pegawai SKM Wilayah Raub / Lipis / Cameron Highland, Encik Mohd. Shukemi Ahmad dan barisan Ahli Jawatankuasa Koperasi.



