Thursday, July 31, 2025
HomeAGENSIKekalkan Semangat… Jangan Putus Asa Bangunkan Koperasi Kariah Masjid

Kekalkan Semangat… Jangan Putus Asa Bangunkan Koperasi Kariah Masjid

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyeru semua pihak khususnya barisan Anggota Lembaga (ALK) Koperasi Kariah Masjid (KKM) agar terus mengekalkan semangat kental selain tidak mudah putus asa dalam usaha memartabatkan pembangunan perniagaan Koperasi.

Katanya, pelbagai inisiatif dan inovasi baharu perniagaan boleh dibangun serta diterapkan melalui KKM. Namun, usaha tersebut perlu dijalankan dengan niat dan tekad untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi anggota dan kariah setempat.

Katanya lagi, barisan ALK perlu lebih kreatif dalam menarik minat lebih ramai kariah menyertai koperasi selain menggalakkan penyertaan golongan belia dalam aktiviti anjuran koperasi sebagai strategi jangka panjang KKM.

“Golongan muda sebenarnya boleh memberikan sokongan dan memudahcarakan promosi melalui kaedah hebahan perniagaan koperasi di platform media sosial umpamanya.

Justeru, mereka perlu diberikan peluang untuk bersama-sama dalam setiap aktiviti anjuran koperasi seperti menganjurkan seminar atau kursus yang berkaitan dengan minat serta keperluan mereka”, ujar beliau.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian sewaktu mengadakan lawatan ke Pusat Pengedaran (DC) MYbaraqa HUB milik Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (KOGMAS) bertempat di KOGMAS Distribution Centre (DC) di Kawasan Perindustrian Tasik Utama, Ayer Keroh Melaka pada 28 Julai 2025.

KOGMAS yang ditubuhkan hasil gabungan 33 buah masjid seluruh negeri Melaka dipengerusikan oleh Haji Zaidan Abd. Hadi yang juga Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri, barisan Jawatankuasa ANGKASA Negeri Melaka dan barisan kakitangan pengurusan ANGKASA yang diketuai Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine