Kejayaan sesebuah organisasi merangkumi pengurusan pasukan dan kepimpinan yang berkesan, strategik pengurusan yang kukuh, inovasi dan kebolehan menyesuaikan diri dalam perubahan.
Organisasi yang berjaya adalah elemen yang mampu membina dan memotivasikan pasukan, menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, serta mengekalkan kelebihan daya saing dalam
pasaran yang dinamik.
Menurut Profesor Psikologi Kaunseling, Prof. Datuk Dr. Mohamed Fadzil Che Din daripada Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), aspek paling penting dalam perniagaan yang berjaya adalah pengurusan kewangan yang cekap dan bijak selain strategi yang berkesan, sekali gus memberi nilai tambah maksimum kepada organisasi.
Katanya, organisasi perlu selalu memperbaharui diri untuk tetap relevan dengan perubahan lingkungan dengan memerhati perkembangan luar.
Beliau mengakui bahawa pelbagai halangan, rintangan, masalah dan kesusahan timbul dalam mendepani cabaran menguruskan sesebuah organisasi.
Bagaimanapun, strategi berkesan menangani permasalahan tersebut sewajarnya melihat kepada aspek tadbir urus, kepimpinan, kewangan dan modal, kecekapan operasi, penyertaan ahli, persaingan pasaran serta perundangan dan dasar.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi ilmu dalam Program Bicara Minda 1/2025 bertajuk ‘Tangani Cabaran Langkah ke Hadapan’ bertempat di Dewan Dato’ Ali Baharum, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 22 September 2025.
Seramai 30 warga kerja terdiri daripada barisan kumpulan pengurusan ANGKASA hadir dalam program ilmiah anjuran Pusat Kecemerlangan ANGKASA, Kumpulan Hubungan Strategik yang merupakan platform perkongsian ilmu dan idea berimpak tinggi dalam usaha merapatkan hubungan dan kebersamaan dalam kalangan warga ANGKASA.
Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya mahu semangat kerjasama yang erat antara kepimpinan, pengurusan dan seluruh warga kerja ANGKASA menjadi asas penting dalam menggerakkan organisasi khususnya koperasi ke arah kejayaan.
Melalui hubungan yang sedia ada terjalin yang telah diperkukuh, persefahaman yang tinggi serta kebersamaan yang wujud diharap dapat melonjakkan ANGKASA khususnya gerakan koperasi ke arah kecemerlangan yang lebih gemilang.
Beliau mengajak semua warga kerja ANGKASA untuk mengambil semangat daripada tema ‘Tangani Cabaran Langkah ke Hadapan’ sebagai azimat dengan hati yang terbuka, minda yang positif dan semangat kebersamaan yang tinggi melalui iltizam serta kerjasama padu antara kepimpinan untuk mengorak langkah lebih jauh ke hadapan.
Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Jusoh, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus Dan Pentadbiran, Haji Anuar Bulin, Penasihat Undang-Undang Kumpulan, Bahagian Undang-Undang ANGKASA, Dato’ Haji Mohamad Shariff Haji Abu Samah, Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA, Encik Halim Ibrahim dan Pengurus Besar Bahagian Sekretariat dan Pengurusan Aset, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman.




















