Kerajaan akan terus memperkasakan komuniti penjaja dan peniaga kecil sebagai nadi utama ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif pendigitalan, pembiayaan serta pembangunan kapasiti di bawah agenda Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri, YAB Dato” Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyifatkan golongan penjaja dan peniaga kecil sebagai wira ekonomi rakyat yang menjadi tulang belakang pertumbuhan domestik dan kestabilan ekonomi negara. Tahun lalu, sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyumbang RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan 8.1 juta peluang pekerjaan.
“Golongan ini berada di barisan hadapan setiap hari, memastikan rakyat mendapat makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan. Mereka adalah wajah sebenar semangat niaga negara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan penutupan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Lurah Semantan, hari ini (2 November 2025).
Dato” Seri Anwar berkata, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus KDNK menjelang 2030, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030). Usaha ini turut diperincikan melalui Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 yang digubal oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Beliau menegaskan, dasar yang baik perlu disusuli tindakan segera di lapangan agar manfaatnya benar-benar dirasai golongan sasar, dengan KUSKOP berperanan sebagai peneraju utama pelaksanaan. Antara inisiatif utama ialah Program Jajahan Rakyat bersama Bank Rakyat yang memperluas akses digital dan mempercepat transformasi tanpa tunai dalam kalangan peniaga kecil.
Selain memperkukuh kecekapan urus niaga, pendekatan itu membantu peniaga menyesuaikan diri dengan ekonomi digital secara inklusif. Menurut Dato” Seri Anwar, Belanjawan 2026 juga akan memberi tumpuan kepada dana, bantuan pembiayaan dan galakan pasaran antarabangsa bagi memastikan peniaga kecil terus berdaya saing serta menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan timbalannya Datuk Seri R Ramanan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
Sebanyak 158 usahawan mengambil bahagian tahun ini. Antara pengisian utama ialah Jualan Rahmah MADANI, Jualan SDSI dan Anekarasa MADANI yang mengetengahkan pelbagai makanan tradisi seluruh negeri termasuk Ikan Patin Tempoyak, Asam Pedas Melaka, Daging Salai Masak Lemak, Nasi Ganja Ipoh, Char Koay Teow Pulau Pinang dan banyak lagi. Karnival turut menampilkan Forum Perdana ‘Dari Tapak Ke Puncak: Melestari Tradisi, Memacu Inovasi’ yang dibawakan khas oleh ANGKASA sebagai penaja bersama.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut hadir bersama-sama menyaksikan majlis perasmian penutup diiringi Anggota Lembaga ANGKASA (Wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Encik Azizul Alias dan Pengerusi ANGKASA Negeri Pahang Tengah, Dato’ Haji Mohamad Hanifah B K Koya Moideen Kutty.






























