Kunjungan Wakil Kehormat African-Asian Rural Development Organization Regional Office for Far East (AARDO-FERO) ke ANGKASA membuka ruang lebih luas kepada usaha pembangunan luar bandar dan pertanian dalam sektor koperasi.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Anggota Lembaga ICA Global, Dato’ Haji Kamarudin Ismail berkata, ANGKASA menyambut baik hasrat AARDO-FERO yang mahu menjalinkan kerjasama strategik menerusi jaringan kukuh dalam pelbagai bidang khususnya pembangunan luar bandar dan pertanian koperasi.
Kesediaan itu dinyatakan beliau ketika menerima kehadiran AARDO-FERO Chairman Korea FAO Association, Dr. Lee Junwon ke Ibu Pejabat ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 17 Disember 2025. Turut serta ialah Setiausaha AARDO-FERO, Mr. Jeonghwan Oh.
Menurut Dr. Lee Junwon, AARDO-FERO telah beroperasi dalam pelbagai bidang pembangunan luar bandar dan pertanian di rantau Afrika-Asia merangkumi program pembinaan kapasiti, penempatan pakar, kajian penyelidikan termasuk mempunyai pangkalan data lebih 120 pakar daripada pelbagai bidang seperti Kejuruteraan Pertanian, Penternakan, Keusahawanan Luar Bandar, Perusahaan Kecil dan Sederhana, Mikro Kredit dan Pengurusan Tanaman.
Selain itu katanya, terdapat 27 Pusat Kecemerlangan AARDO-FERO yang menjalankan program latihan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang pembangunan luar bandar dan pertanian.
Menurutnya, kerjasama dengan pelbagai organisasi antarabangsa antara lain bertujuan meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial komuniti luar bandar.
AARDO sebelum ini dikenali sebagai Afro-Asian Rural Development Organization pada tahun 1962 menzahirkan pandangan jauh ke hadapan dalam kalangan pemimpin sosial dan politik Asia dan Afrika dalam mengiktiraf keperluan kerjasama antara negara dalam bidang pertanian dan pembangunan luar bandar.
Pertubuhan sosial yang berstatus pemerhati itu turut bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain seperti Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dan beberapa pertubuhan lain.
Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Perniagaan Kecil (BPKPPK) Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Encik Wan Ahmad Hilman Wan Adam, Ketua Bahagian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Puan Izdihar Nadzim, Timbalan Pengarah Bahagian Perangkaan dan Penyelidikan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Encik Zainudin Mohamed, Pengarah Kanan Pusat Antarabangsa dan Kolaborasi Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Dr. Zurita Mohd Saleh dan Pengurus Besar Bahagian Pertanian Asas Tani dan Perladangan ANGKASA, Encik Muhammad Zuhid Jamaludin.













