Sebanyak 16 buah kenderaan pelbagai jenis melibatkan penyertaan lebih 60 peserta Konvoi Trans ASEAN Madani Tahun Melawat Malaysia 2026 telah berlepas pada pukul 10.00 malam dari Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam pada 31 Disember 2025.
Majlis pelepasan konvoi tersebut telah disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Konvoi itu akan merentasi perjalanan sepanjang kira-kira 7,200 kilometer melibatkan empat buah negara iaitu Malaysia, Thailand, Laos dan Kemboja.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, penganjuran konvoi itu mencerminkan usaha bersepadu pelbagai pihak dalam mengangkat peranan koperasi sebagai pemacu pembangunan serantau, di samping mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian kepada wakil media selepas majlis makan malam sempena pelepasan konvoi tersebut.
Katanya lagi, Konvoi Trans ASEAN Madani itu juga dilihat sebagai penutup yang signifikan kepada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh kerjasama serantau berteraskan pendekatan inklusif dan mesra rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan rentas negara melalui konvoi berkenaan membuka ruang kerjasama lebih luas antara gerakan koperasi, sektor pelancongan dan komuniti setempat, sekali gus memperkukuh jaringan hubungan serantau di peringkat ASEAN.
Terdahulu, Pengarah Program merangkap Pengerusi Koperasi Perumahan Awam Malaysia Berhad (KOPAMA), Datuk Abd. Rahim Haji Hashim berkata, konvoi itu membawa misi meraikan serta merakamkan penghargaan terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN selain mengetengahkan pendekatan Malaysia MADANI kepada negara-negara anggota ASEAN.
Program itu juga katanya turut memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, di samping meninjau peluang kerjasama strategik bersama koperasi di negara-negara terlibat.
Konvoi Trans ASEAN Madani Tahun Melawat Malaysia 2026 merupakan anjuran bersama Persatuan Alumni Program Persahabatan ASEAN–Jepun Abad Ke 21, Malaysia (PAMAJA), ANGKASA, KOPAMA, ACO dan ASEAN-Japan Friendship Association for the 21st Century (AJAFA) dan berlangsung dari 31 Disember 2025 hingga 16 Januari 2026.
Sepanjang konvoi, pelbagai aktiviti dirangka termasuk sesi libat urus bersama rakan koperasi, kunjungan hormat ke perwakilan Malaysia di luar negara serta program promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang melibatkan komuniti setempat dan media tempatan.
Program ini turut menerima sokongan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia.
Turut hadir pada majlis pelepasan konvoi ialah Presiden PAMAJA, Dato’ Haji Sahariman Haji Hamdan, Naib-naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah serta Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain.




























