Friday, August 1, 2025
HomeAKTIVITIKOPMUHSININ Perluas Perniagaan, Sasar Projek Inap Desa

KOPMUHSININ Perluas Perniagaan, Sasar Projek Inap Desa

Koperasi Kariah Masjid Al Muhsinin Melekek Luar Alor Gajah Melaka Berhad (KOPMUHSININ), yang ditubuhkan pada 2020, merancang untuk menambah perniagaan baharu dalam bentuk inap desa (homestay) berasaskan kabin bagi memenuhi permintaan penginapan yang semakin meningkat di kawasan Alor Gajah, Melaka.

Koperasi tersebut ditubuhkan hasil saranan Majlis Agama Islam Melaka agar masjid boleh menjana pendapatan sendiri. Berlandaskan prinsip fardu kifayah, KOPMUHSININ memulakan operasi pada September 2020 dengan perniagaan runcit melalui pembukaan Muslim Mart.

Kemudian, koperasi itu turut mengembangkan aktiviti ke bidang pertanian cili secara kaedah fertigasi dan pengendalian kantin, demi memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 ahli kariah.

Menurut Setiausaha koperasi, Haji Abd. Razak Mohd Yusoff, koperasi itu kini mempunyai 113 anggota dengan modal saham minimum RM300 setiap seorang. KOPMUHSININ juga menerima pelbagai sokongan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) antaranya Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM sebanyak RM100,000 dan Bantuan Program Pengukuhan Koperasi (RM20,000).

Selain itu, penyertaan dalam program BA100 yang dikendalikan ANGKASA telah banyak membantu dalam memperkukuh operasi peruncitan koperasi.

Beliau yang mewakili Pengerusi KOPMUHSININ berkata demikian ketika menerima lawatan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ke KOPMUHSININ hari ini (26 Julai 2025).

Lawatan tersebut memperlihatkan komitmen ANGKASA dalam menyokong koperasi berasaskan komuniti masjid.

Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Bendahari KOPMUHSININ, Dato’ Dr. Rusdi Abdul Raman, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd Jalil dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.Dalam sesi perbincangan antara KOPMUHSININ dengan pihak ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyeru supaya kekuatan ekonomi umat dibina berpaksikan institusi masjid.

Beliau turut menyatakan bahawa koperasi masjid seperti KOPMUHSININ perlu memainkan peranan lebih besar dalam menjana pendapatan yang boleh digunakan untuk program kebajikan, pendidikan dan pembangunan modal insan di peringkat akar umbi.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine