Tuesday, March 3, 2026
HomeAKTIVITIKOWIMA Terus Perkasa Peranan Koperasi Wanita Santuni Golongan Memerlukan

KOWIMA Terus Perkasa Peranan Koperasi Wanita Santuni Golongan Memerlukan

Konsortium Koperasi Wanita Malaysia Berhad (KOWIMA) meneruskan tradisi menganjurkan majlis berbuka puasa bersama golongan memerlukan dengan kerjasama Koperasi Usahanita Kuala Lumpur Berhad (KUKLB).

Seramai 44 anak yatim dan asnaf daripada Pusat Jagaan Darul Sakinah ANGKASA serta Rumah Amal Asnaf Al Barakh diraikan dalam Majlis Iftar KOWIMA Bersama Anak Yatim dan Tahfiz yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 28 Februari 2026.

Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, berkata peranan koperasi wanita semakin signifikan bukan sahaja dalam memperkukuh ekonomi anggota, malah dalam mendukung agenda kebajikan dan pembangunan komuniti.

Menurut beliau, koperasi wanita mempunyai kekuatan tersendiri melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berteraskan nilai empati serta keprihatinan, sekali gus menjadikan mereka antara pemacu utama dalam pelaksanaan program tanggungjawab sosial.

Katanya, inisiatif seperti penganjuran majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan asnaf membuktikan bahawa koperasi wanita bukan sekadar entiti perniagaan, tetapi juga platform yang menyantuni masyarakat dan memperkasakan peranan wanita dalam pembangunan sosial.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Presiden ANGKASA merasmikan majlis tersebut.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan berupa duit raya dan kotak rezeki kepada anak yatim serta asnaf yang hadir.

Selain itu, Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad yang diwakili Pengerusinya, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain, yang juga Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Wilayah Persekutuan, menyampaikan zakat wakalah berjumlah RM6,000 kepada Pusat Jagaan Darul Sakinah ANGKASA dan Rumah Amal Asnaf Al Barakh, dengan setiap pertubuhan menerima RM3,000.

Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad pula menyalurkan zakat sebanyak RM1,000 kepada sebuah keluarga asnaf.

Sementara itu, Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad yang diwakili Pengerusinya, Dato’ Ahmad Sobri Wan Teh, menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000, masing-masing RM1,000 kepada Pusat Jagaan Darul Sakinah ANGKASA, Rumah Amal Asnaf Al Barakh serta keluarga asnaf berkenaan.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi KOWIMA merangkap Pengerusi KUKLB, Hajah Rozilah Mohd Tahir, Pengerusi JKAN Negeri Sembilan merangkap ALK KOWIMA, Hajah Noorizan Abd. Latif dan Penasihat KUKLB merangkap ALK KOWIMA, Puan Raidzah Rohana Mohd Tahir.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine