Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pemberian geran sebanyak RM20 ribu khusus untuk koperasi siswa (KOSISWA) di seluruh negara dalam usaha memperkasakan aktiviti perniagaan yang diusahakan mereka.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri KUSKOP, YB Datuk Ewon Benedick semasa sesi dialog ‘Coop-Talk: Menteri dan Siswa 2025’ anjuran KUSKOP dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor pada 22 April 2025.
Menurut beliau, pemberian geran tersebut tertakluk kepada KOSISWA yang mematuhi kriteria ditetapkan, termasuk pengurusan mesyuarat agung yang teratur serta laporan kewangan yang telah diaudit.
“Meskipun jumlah ini nampak kecil, namun ini adalah isyarat bahawa kementerian (KUSKOP) berada di sini untuk memudah cara dan membimbing. Atas dasar itu juga, kita telah melantik wakil KOSISWA sebagai anggota Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK),” katanya.
Menurut beliau, penyertaan wakil KOSISWA dalam MPKK membolehkan suara mahasiswa didengari dalam proses penggubalan dasar, undang-undang serta pelaksanaan inisiatif berkaitan sektor koperasi di peringkat kementerian dan agensi.
Mengulas lanjut, beliau menzahirkan harapan agar lebih ramai usahawan berskala sederhana dan besar dapat dilahirkan, seterusnya mampu menembusi pasaran antarabangsa dan disenaraikan di bursa saham.
“Saya ingin melihat lebih ramai usahawan kita berjaya ke peringkat lebih tinggi, membawa produk dan perkhidmatan ke pasaran global. Namun dalam masa sama, kita tidak akan mengabaikan golongan usahawan informal,” katanya.











Beliau turut menyeru mahasiswa agar mempertimbangkan keusahawanan sebagai satu pilihan kerjaya selain menyertai sektor perkhidmatan awam.
“Kita semua melalui proses pendidikan yang melatih kita untuk membuat keputusan dari sekolah rendah hingga ke kampus. Maka saya ingin mengajak mahasiswa, selain menyertai perkhidmatan bergaji, pertimbangkan juga untuk menjadi usahawan,” katanya.
Tambah beliau, Mesyuarat MPKK Bilangan 1/2025 yang julung kalinya diadakan di UiTM bertujuan memberi mesej jelas agar mahasiswa melihat koperasi sebagai satu platform berimpak tinggi.
“Mari kita berkoperasi. Sertailah koperasi dan gunakan platform ini untuk menyumbang buah fikiran serta menyertai pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung sesi pertukaran nota kerjasama antara Koperasi Siswa UiTM Selangor Berhad (KOSISWA UiTM) dengan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM serta antara KOSISWA UiTM dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM.
Langkah strategik tersebut bertujuan memperkukuh dan memperkasakan ekosistem keusahawanan di UiTM melalui kerjasama lebih erat antara entiti koperasi, akademik dan kepimpinan pelajar. Terdahulu, YB Datuk Ewon turut merasmikan _The Cups Coffee & Kitchen_, premis makanan dan minuman milik KOSISWA UiTM yang telah mula beroperasi sejak tahun 2023.
Sesi dialog _’Coop-Talk_: Menteri dan Siswa 2025′ turut menampilkan beberapa panel jemputan termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Puan Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang, YB Tuan Fahmi Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia, Encik Mohd Zaib Mat Yunus, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Penolong Naib Canselor MASMED UiTM, Prof. Madya Dr. Badrul Isa serta Pengerusi KOSISWA UiTM, Saudara Muhamad Aidil Tasnim.
Sesi itu turut dimoderatorkan oleh Yang Dipertua MPP UiTM sesi 2024/2025, Saudara Muhammad Haziq Sabri.