Wednesday, November 5, 2025
HomeAKTIVITILadang ANGKASA di Setiu Mulakan Tanaman 85 Ribu Nanas Jenis MD2

Ladang ANGKASA di Setiu Mulakan Tanaman 85 Ribu Nanas Jenis MD2

Sebanyak 85 ribu sulur nanas jenis MD2 bernilai RM110,500 telah mula ditanam di Ladang ANGKASA yang terletak di Sungai Tong, Setiu, Terengganu.

Sulur nanas sumbangan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Terengganu itu telah diserahkan kepada ANGKASA melalui ‘Geran Penanaman Nanas Bernilai Tinggi’ yang diluluskan oleh LPNM pada 11 Mei 2025 sebagai projek perintis.

Pemberian sulur tersebut sekali gus menjadikannya sebagai antara projek tanaman nanas terbesar diusahakan di Negeri Terengganu.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA berhasrat untuk menjadikan tanaman nanas sebagai tanaman komoditi utama bagi koperasi di negeri Terengganu

Menurut beliau, koperasi boleh menjadikan Ladang ANGKASA sebagai sumber rujukan bagi mendapatkan panduan dan khidmat nasihat selain menjadikan ladang tersebut sebagai sumber ekosistem pertanian baharu kepada gerakan koperasi khususnya di negeri Terengganu.

“Sebagai badan apeks, ANGKASA melihat ini sebagai satu peluang yang perlu diambil dan boleh menjadi sumber rujukan berguna dalam membantu koperasi kecil meningkatkan ekonomi”, katanya.

Beliau turut menyarankan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa dan pengurusan ANGKASA Negeri Terengganu supaya dapat mengatur pelan strategik bagi memastikan koperasi boleh terlibat secara signifikan dalam rantaian industri tanaman nanas secara lebih bersepadu di bawah seliaan angkasa dan LPNM.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian sewaktu berucap dalam ‘Majlis Perasmian Projek Tanaman Nanas dan Jalinan Kerjasama bersama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Terengganu’ bertempat di Ladang ANGKASA, Sungai Tong Setiu, Terengganu pada 2 November 2025.

Sementara itu, Pengarah LPNM Negeri Terengganu, Encik Mohd Zamani Ab Ghani dalam ucapannya berkata, LPNM sedia membantu ANGKASA dalam usaha untuk menjadikan aktiviti tanaman nanas sebagai sumber pendapatan baharu kepada koperasi di negeri Terengganu.

Beliau yakin menerusi kerjasama antara ANGKASA dan LPNM, perkongsian kepakaran, sumber dan pengalaman boleh menjadikan industri tersebut lebih berjaya dan menguntungkan buat koperasi yang terlibat.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Terengganu, Tuan Haji Mohamed Yusoff dan wakil Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Encik Muhammad Siraj Munir Zulkepli.

Ladang ANGKASA yang berkeluasan 30 ekar itu memulakan tanaman nanas sebagai tanaman rencam bagi memaksimumkan penggunaan tanah sebelum operasi tanaman kelapa jenis Sungai Gulang-gulang (SGG) dimulakan.

Sulur tersebut mula ditanam secara berperingkat di bawah kelolaan ANGKASA Negeri Terengganu sejak September 2025 dan dijangka mengambil masa 14 bulan untuk matang dan boleh dijual.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine