Seramai lebih 58,000 pengunjung telah menghadiri Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25) di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka sepanjang tempoh tiga hari bermula 25 Julai 2025 sehingga 27 Julai 2025.
Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama ANGKASA, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Bank Rakyat dan Co-op Bank Pertama itu mengetengahkan tema ‘Koperasi Memperkasa Komuniti Membina Negara Madani’.
Sepanjang penganjuran HKN’25, sebanyak 240 pempamer terdiri daripada koperasi dan pelbagai agensi dari seluruh negara menawarkan pelbagai produk dan aktiviti menarik termasuk aktiviti Jualan Madani Koperasi dan Usahawan, Jualan Agro Madani, D’Dapur Co-op, Pocket Talk dan Sukan Rakyat, Program Jom Cari Kerja & Jom Masuk IPT, Co-op Tourism Fair dan serta pertandingan permainan tradisional seperti e-Games dam dan congkak.
Selain itu,aktiviti seperti Cabaran Kopi Tarik, HKN ’25 Coop-Fun Walk, Majlis Forum Perdana, persembahan artis dan kebudayaan, HKN Zumba dan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak HKN turut mewarnai sambutan pada tahun ini.
ANGKASA turut memeriahkan HKN 2025 menerusi penganjuran program khas Saringan Kesihatan Kebangsaan, Kempen Menderma Darah Coop Care dan Kempen Ikrar Derma Organ dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Hospital Tampin dan Hospital Melaka.
Sepanjang program itu berlangsung, seramai 62 orang mendaftar sebagai penderma organ, 57 orang menderma darah, manakala seramai 169 orang menjalani pemeriksaan saringan kesihatan.
HKN’25 menjadi platform promosi produk dan perkhidmatan koperasi, meningkatkan rangkaian kerjasama komuniti koperasi dengan agensi, malah berperanan sebagai medan untuk merapatkan gerakan koperasi dengan masyarakat secara menyeluruh.