Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh keluarga angkat komuniti FELDA Air Tawar 5 yang sudi membuka pintu rumah dan hati untuk menerima anak-anak pelajar Yayasan ANGKASA.
Peranan mereka amat besar dalam memberi kasih sayang, sokongan moral, nasihat serta suasana kekeluargaan yang menguatkan semangat mereka sepanjang program berlangsung selama empat hari.
Demikian antara ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam Majlis Budi Disanjung Pelajar Tajaan Yayasan ANGKASA dan Keluarga Angkat Komuniti FELDA Air Tawar 5 yang diadakan di SK FELDA Air Tawar 5, Kota Tinggi pada 15 September 2025.
Program tersebut juga membuktikan betapa pendidikan menjadi keutamaan bersama. Inisiatif pelajar tajaan Yayasan ANGKASA dengan sokongan Keluarga Angkat Komuniti FELDA memberi peluang kepada mereka untuk menimba ilmu malah bimbingan semangat dan sokongan moral daripada seluruh komuniti.
”Pencapaian yang membanggakan di menara gading merupakan permulaan kepada sebuah tanggungjawab yang lebih besar. Universiti pula menjadi medan untuk anda membina kepimpinan, disiplin, daya tahan dan integriti bersama cabaran yang datang dalam aspek akademik, kewangan serta emosi.”ujarnya.
Justeru, beliau menyeru kepada semua pelajar tajaan Yayasan ANGKASA agar sentiasa berani dengan dunia hari ini yang terbuka luas dalam menimba ilmu dan berdaya saing selain sentiasa bersedia menghadapi cabaran yang mendatang.
Beliau juga turut menasihatkan pelajar supaya sentiasa menjaga identiti dan nama baik Yayasan ANGKASA kerana mereka semua adalah duta kecil yang membawa imej gerakan koperasi di mana sahaja berada.
“Saya yakin pelajar tajaan Yayasan ANGKASA cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jiwa kepimpinan, keperibadian yang mulia dan semangat untuk menyumbang kepada masyarakat serta gerakan koperasi pada masa hadapan.”ujarnya lagi.
Beliau berharap Majlis Budi Di Sanjung sebagai permulaan sebuah ikatan silaturrahim yang berpanjangan. Mereka diingatkan untuk menghargai bimbingan dan kasih sayang yang telah dicurahkan oleh keluarga angkat masing-masing.
”Kejayaan pelajar akan membanggakan keluarga kandung, keluarga angkat dan Yayasan ANGKASA yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.”ujarnya.
Beliau yakin pengalaman ini akan menjadi bekalan berharga buat anak-anak pelajar untuk terus maju menuntut ilmu, membina keyakinan diri dan menjadi insan yang berakhlak mulia.
Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Samsudin, barisan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan ANGKASA terdiri daripada Dato’ Fahrol Rahman Ahmad dan Datuk Rosni Haji Zahari, Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Haji Sazali Abd Hamid serta Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Ahmad.













