Tuesday, March 3, 2026
HomeKOPERASIMajlis Peluncuran Buku & Tahun Bisnes ANGKASA Perlis 2026 Serlah Komitmen Pembangunan...

Majlis Peluncuran Buku & Tahun Bisnes ANGKASA Perlis 2026 Serlah Komitmen Pembangunan Koperasi Negeri.

Majlis Peluncuran Buku Never Fully Invest At All Times serta Pelancaran Tahun Bisnes Koperasi ANGKASA Perlis 2026 telah berlangsung pada 3 Disember 2025 di Hotel Elissa, Kangar.

Majlis diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin lbni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, berkenan mencemar duli hadir menyempurnakan majlis sekali gus mengurniakan anugerah Tokoh Penggiat Melayu Nusantara kepada TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Turut berkenan hadir ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dalam titah baginda menzahirkan keyakinan terhadap masa depan gerakan koperasi negeri Perlis.

“Semoga kerjasama antara koperasi dan agensi untuk meningkatkan ekonomi rakyat Perlis ini membawa lebih banyak peluang pekerjaan, pendapatan yang stabil dan pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat Perlis. Ini permulaan baharu bagi Gerakan Koperasi Perlis memasuki tahun 2026 dengan semangat dan visi yang lebih besar.”

Baginda turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, atas kejayaan mengekalkan jawatan sebagai Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia Pacific (ICA-AP) dalam pemilihan sempena Perhimpunan Serantau ICA-AP ke-17 di Colombo, Sri Lanka pada 27 November 2025, sekali gus membuktikan kepimpinan Malaysia terus diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengerusi INSKEN, Datuk Haji Mustaffa Kamil Ayub berkata dalam ucapannya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) memainkan peranan penting dalam memperkasa koperasi di seluruh negara, termasuk koperasi di negeri Perlis, melalui penyediaan latihan, bimbingan dan pembangunan kapasiti yang tersusun.

Melalui program-program keusahawanan yang berfokus kepada peningkatan kemahiran pengurusan, pemasaran, digitalisasi dan pembangunan produk, INSKEN membantu koperasi beroperasi dengan lebih cekap serta mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi semasa.

Melalui kerjasama antara INSKEN, ANGKASA dan kerajaan negeri, koperasi-koperasi di Perlis bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan daya saing tetapi juga berpotensi menjadi ejen perubahan yang aktif dalam memacu kesejahteraan ekonomi rakyat setempat.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya menegaskan bahawa hala tuju pembangunan koperasi di Perlis selari dengan visi RSN Perlis 2030 ke arah menjadikan negeri ini “Negeri Bandaraya 2030”.

Katanya, ANGKASA bukan sekadar mahu menambah bilangan koperasi, malah membentuk koperasi sebagai agen pembangunan yang inklusif dan mapan. Statistik SKM menunjukkan terdapat 258 koperasi aktif dengan lebih 62,000 anggota, membuktikan potensi besar yang boleh digerakkan bagi kemajuan negeri.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut berkongsi bahawa ANGKASA menerajui pelbagai inisiatif dalam sektor pertanian, agro, peruncitan, pelancongan dan ekonomi mikro.

Menurut beliau lagi peluang pendigitalan melalui Pelan Digital Perlis dan inisiatif DigiKOP 2030 membuka ruang luas untuk koperasi meningkatkan tadbir urus, pemasaran serta penyertaan dalam ekonomi digital. Penekanan tersebut menggambarkan keazaman ANGKASA untuk memastikan koperasi terus kompetitif dalam pasaran moden.

Dalam aspek pelancongan, ANGKASA sedang memperluas rangkaian koperasi seperti Coop Hotel, Coop Homestay dan ekopelancongan koperasi bagi mengangkat potensi Perlis sebagai destinasi komuniti yang berdaya tarikan.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menjelaskan bahawa kekayaan alam, budaya dan sejarah Perlis mampu menjadi pemangkin kepada pendapatan setempat. Beliau menyeru kerjasama erat antara koperasi, kerajaan negeri dan masyarakat untuk menjayakan agenda pembangunan ini.

Majlis diteruskan dengan pelancaran buku “Never Fully Invest At All Times” secara simbolik, pertukaran MoU serta sesi bicara pelaburan oleh Dr Tan Chong Koay.

Barisan kepimpinan ANGKASA yang hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Negeri Perlis, Dr. Ammar Hassan, Pengerusi ANGKASA Negeri Kedah, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh, Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman, Pengerusi ANGKASA Negeri Perak, Haji Mohamed Shafie Abd Karim, Pengerusi ANGKASA Negeri Terengganu, Haji Mohamed Yusoff, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd. Alias Hamzah dan Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Ab. Hadi serta Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine