Anggota Jawatankuasa Masjid Al-Ummah yang terletak di Daerah Badian, Cebu, Filipina merancang untuk menubuhkan sebuah Koperasi Kariah Masjid yang bakal menjadi Koperasi Kariah Masjid kelima ditubuhkan di negara itu sekiranya berjaya direalisasikan.
Hasrat tersebut dinyatakan semasa kunjungan delegasi ANGKASA yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ke masjid berkenaan pada 9 Jun 2025.
Pertambahan bilangan umat Islam secara signifikan di daerah tersebut serta kewujudan Pusat Islam Badian sejak tahun 2021 telah mendorong kepada penubuhan Masjid Al-Ummah. Masjid yang mula dibina pada tahun 2023 itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, malah turut menjalankan program pengajian tahfiz bagi membimbing anak-anak penduduk Islam tempatan mempelajari al-Quran dan memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Menariknya, Masjid Al-Ummah turut tersenarai sebagai salah satu lokasi persinggahan pelancong Islam dari luar negara yang datang menunaikan solat semasa berada di daerah tersebut.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyampaikan taklimat mengenai manfaat penubuhan Koperasi Kariah Masjid kepada jawatankuasa masjid dan penduduk setempat. Menurut beliau, terdapat kira-kira 4,000 umat Islam di kawasan itu yang bukan sahaja memerlukan bimbingan dari sudut keagamaan, bahkan turut memerlukan sokongan sosioekonomi. Justeru, penubuhan koperasi boleh menjadi platform untuk membangunkan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor makanan halal.
Sempena lawatan tersebut, beberapa program sampingan turut dianjurkan bersama masyarakat Islam setempat seperti majlis korban dan agihan daging, majlis syahadah untuk mualaf serta sumbangan tudung dan beras. Program-program tersebut dijalankan dengan kerjasama Ummah Care Malaysia dan Briged Bakti Malaysia.
Selain itu, sesi penerangan berkonsepkan misi kemanusiaan turut disampaikan sebagai tanda keprihatinan koperasi dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam setempat.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Presiden Briged Bakti Malaysia, Dato’ Dr. Abdul Razak Kechik, Presiden Ummah Care Malaysia merangkap Naib Presiden Briged Bakti Malaysia, Ustaz Haji Mohd Nasir Zakaria, Ketua Bahagian National Council on Muslim Filipino (NCMF), Mr. Almojin D. Pandapatan, Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustapha, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman serta Imam Masjid Al-Ummah, Ustaz Alimuddin Luganao.