Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, hari ini (6 Februari 2026) merasmikan penubuhan Koperasi Kariah Masjid Raya At-Taqwa, Pisangan Baru, Jakarta Timur, sekali gus mengetuai lawatan serta sesi perbincangan strategik bersama pengurusan masjid dan institusi zakat setempat.
Ketibaan delegasi ANGKASA ke Masjid Raya At-Taqwa disambut oleh Ketua Dewan Kemakmuran Masjid (DKM) Masjid Raya At-Taqwa, Ustaz Ahmad Yani, bersama Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia, Yudhiarma MK, serta wakil Divisi Bank Zakat BAZNAS RI, Ustaz M. Soleh.
Program ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi koperasi, masjid dan pengurusan zakat, di samping meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan sosioekonomi ummah melalui pendekatan koperasi dan zakat yang bersepadu.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menegaskan bahawa masjid perlu kembali berperanan sebagai ‘center of excellence’ sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW, iaitu sebagai pusat ibadah, pendidikan, ekonomi dan penyelesaian permasalahan umat. Menurut beliau, koperasi kariah masjid merupakan instrumen penting bagi menghidupkan semula peranan tersebut serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Delegasi ANGKASA turut mengadakan lawatan sekitar Masjid Raya At-Taqwa bagi meninjau aspek pengurusan masjid serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang merangkumi kebajikan, pendidikan dan pembangunan ekonomi komuniti. Lawatan tersebut disusuli dengan sesi pertukaran pandangan serta perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua pihak.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian hari ketiga lawatan kerja delegasi ANGKASA ke Jakarta. Pada kesempatan sama, delegasi ANGKASA turut menyampaikan sumbangan infaq kepada Masjid Raya At-Taqwa berjumlah USD3,000.
Lawatan dan perbincangan tersebut diakhiri dengan sesi perbincangan hala tuju kerjasama strategik pada masa hadapan yang berpotensi dilaksanakan di peringkat tempatan dan serantau, selaras dengan aspirasi ANGKASA, ACO dan ICA-AP untuk memperkasa gerakan koperasi serta meningkatkan kesejahteraan ummah.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil; Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman; serta Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.




















