Usaha mereformasikan kerangka perundangan koperasi negara menjadi fokus utama yang diperbincangkan dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 1/2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor pada 22 April 2025.
Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick memberi tumpuan khusus terhadap sesi libat urus bersama barisan anggota MPKK berhubung penggubalan rang undang-undang (RUU) koperasi yang baharu.
KUSKOP bersama-sama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kini dalam proses menggubal suatu akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502], sejajar dengan perkembangan semasa ekonomi dan landskap koperasi negara.
Datuk Ewon dalam ucapannya berkata, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan memperkukuh elemen pengawalseliaan serta memastikan perundangan koperasi kekal relevan dan mampu menangani cabaran baharu dalam persekitaran semasa.
“Sehingga kini, KUSKOP dan SKM telah melaksanakan sebanyak 10 sesi libat urus dengan penyertaan sebanyak 295 buah koperasi dan 47 agensi kerajaan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berkaitan RUU koperasi yang baharu,” katanya.
Ujarnya, selain itu, soal selidik juga telah diedar dan sebanyak 1,058 buah koperasi telah menjawab soal selidik tersebut.
Matlamat utama penggubalan Akta Koperasi yang baharu adalah untuk memperkasakan gerakan koperasi dengan meliberalisasi perundangan di samping meningkatkan standard SKM sebagai badan pengawalseliaan kepada koperasi.
“Dengan penggubalan akta koperasi yang baharu ini, KUSKOP optimis dapat mewujudkan koperasi yang responsif dan dinamik, memudahkan perniagaan koperasi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan tata kelola koperasi,” jelasnya.













Menurut beliau, sehingga 12 April 2025, sebanyak 12 daripada 14 kerajaan negeri telah pun mengadakan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi peringkat negeri sekali gus membuktikan bahawa sektor koperasi semakin mendapat perhatian di peringkat negeri.
“Kerajaan negeri juga dilihat semakin aktif dalam menyokong pembangunan dan kemajuan koperasi di negeri masing-masing menerusi penyediaan insentif.
Bagi tahun 2025, Selangor memperuntukkan RM1 juta, Perak (RM723 ribu), Johor (RM600 ribu) , Melaka (RM450 ribu), Pulau Pinang (RM200 ribu), Pahang (RM100 ribu) dan Kedah (RM50 ribu),” ujar beliau.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut menyuarakan pandangan beliau bahawa dalam menggubal akta baharu, aspek teras atau ‘DNA’ koperasi perlu terus dipelihara agar tidak lari daripada semangat asal gerakan koperasi.
Katanya lagi, akta yang digubal perlu mencerminkan identiti koperasi sebagai gerakan ekonomi rakyat, bukan sekadar entiti perniagaan biasa.
Sebanyak lapan agenda telah dibentangkan dalam mesyuarat kali ini, antaranya pengesahan minit MPKK Bil. 2/2024 bertarikh 8 Oktober 2024, pembentangan bertajuk ‘Cadangan Penggubalan Suatu Akta Baharu Bagi Menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502]’ oleh Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar serta penyampaian sijil pelantikan anggota MPKK bagi penggal 2025–2027 kepada 21 penerima.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KUSKOP, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Puan Noor Afifah Abdul Razak dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh.
Turut hadir ialah Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor.
Mesyuarat turut disertai oleh 14 Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio koperasi, sembilan wakil gerakan koperasi, tiga wakil akademik dan dua wakil industri.
Ketibaan YB Datuk Ewon ke UiTM juga telah disambut oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.