ANGKASA mengambil langkah proaktif memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh lima tahun sebagai tekad memastikan gerakan koperasi negara kekal utuh dengan tadbir urus baik berlandaskan nilai integriti yang tinggi.
Usaha tersebut adalah selaras dengan komitmen ANGKASA terhadap usaha memerangi rasuah, memperkukuh integriti dan tadbir urus baik gerakan koperasi sebagai keutamaan kepada mewujudkan persekitaran budaya kerja yang telus dan bersih dalam setiap lapisan pengurusan.
Majlis mendatangani MoU itu diwakili oleh
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Jusoh dan
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ TKPj Azmi Kamaruzaman sambil disaksikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki bertempat di Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya, Selangor hari ini (10 September 2025).
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Encik Rozdeen Mohd Jaafar, Pengarah Pentadbiran Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Puan Nor Azila Md. Tauhid dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, TPj Rasidah Abdul Karim.
Kerjasama strategik antara ANGKASA dengan SPRM itu adalah kesinambungan kepada MoU terdahulu yang telah ditandatangani pada 17 Julai 2017, iaitu memberi fokus kepada usaha memperkukuh serta meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam memerangi rasuah serta pemerkasaan integriti melalui pelbagai program anjuran bersama, sekali gus berjaya memberikan impak positif terhadap komitmen warga koperasi dalam menolak rasuah.
Skop kerjasama MoU baharu yang disepakati tersebut merangkumi perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman dalam aspek akademik, latihan, penyelidikan dan penerbitan ke arah meningkatkan kapasiti dan kemampuan untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dalam membanteras jenayah rasuah secara berkesan.
Selain itu, kedua-dua pihak juga berhasrat untuk mewujudkan persefahaman secara menyeluruh dan berkesan di peringkat nasional dan antarabangsa melalui jalinan kerjasama yang kukuh.
Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa MoU yang disepakati itu bukan sekadar dokumen perundangan, malah manifestasi iltizam dan tanggungjawab moral kedua-dua pihak untuk menjadikan sektor koperasi di negara ini sebagai contoh unggul dalam tata kelola, integriti dan mendukung Malaysia sebagai sebuah negara bebas rasuah.
Beliau memuji dan menjunjung tinggi komitmen ANGKASA dalam usaha berterusan mencegah rasuah dan pecah amanah dalam gerakan koperasi dan beliau mengakui ANGKASA sebagai rakan strategik yang sangat penting dalam memperjuangkan agenda anti rasuah secara menyeluruh.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyatakan keyakinannya terhadap kerjasama erat kedua-dua pihak akan terus menjadi pemangkin kepada usaha mengangkat integriti sebagai asas utama dalam setiap tindakan supaya gerakan koperasi sifar rasuah dapat direalisasikan.
Terdahulu, Forum Anti Rasuah Koperasi bertajuk ‘ Pengurusan Dana Awam’ telah berlangsung menampilkan dua panel iaitu Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail dan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik yang dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) Kumpulan ANGKASA, Haji Zaharudin Alias.
Turut diadakan ialah Pocket Talk : Pengurusan Dana Infaq yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Infaq ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya.
Barisan kepimpinan ANGKASA yang hadir terdiri daripada Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Haji Kamarudin Ismail. Selain itu, Pengerusi ANGKASA Selangor, Dato’ Haji Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Puan Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) Kumpulan ANGKASA, Dato’ Shaharudin Mohd Sa’ad.



























